Home Sukan Malaysia berpesta gol 4-0 kalahkan Brunei

Malaysia berpesta gol 4-0 kalahkan Brunei

Pemain Malaysia, Mohammad Syamer Kutty Abba menjaringkan gol kedua untuk pasukan pada perlawanan persahabatan antarabangsa Malaysia menentang Brunei di Stadium Nasional Bukit Jalil. Foto MOHD ADZLAN, 27 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Malaysia membuka langkah kanan menjelang saingan Piala Asia 2023 Kumpulan E apabila menang selesa 4-0 ke atas Brunei dalam aksi persahabatan Antarabangsa 2022 di sini malam tadi.

Pada perlawanan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, skuad Harimau Malaya tidak mengambil masa yang lama selepas membuka jaringan pada minit ke-16.

Muhammad Syafiq Ahmad berganding dengan Mohamadou Sumareh di jentera serangan berjaya menjaringkan gol menerusi tandukan kencang hasil sepakan penjuru yang diperoleh pada separuh masa pertama.

Dengan berbekalkan semangat gol pembukaan itu, skuad kendalian Kim Pan Gon terus melakukan asakan demi asakan di gawang skuad pengunjung kendalian Muhd Rosanan Abdullah Samak.

Pemain Malaysia, Mohamadou Sumareh membuat tandukan ke pintu gol lawan sambil dikawal pemain Brunei, Abdul Muiz Sisa pada perlawanan persahabatan antarabangsa Malaysia menentang Brunei di Stadium Nasional Bukit Jalil. Foto MOHD ADZLAN, 27 MEI 2022.

Bek pertahanan lawan yang agak goyah memberi kelebihan kepada skuad Harimau Malaya menguasai permainan atas padang sepanjang 30 minit pertama.

Kelincahan Muhammad Syafiq dan Mohammad Faisal Abdul Halim dan Dionjohan Cools ternyata memberikan masalah kepada bek pertahanan pasukan lawan di kotak penalti dan ia ternyata membuahkan hasil apabila Mohammad Syamer Kutty Abba berjaya menjaringkan gol kedua untuk pasukan Malaysia pada minit ke-45.

Separuh masa pertama perlawanan Malaysia lawan Brunei Darussalam tamat dengan keputusan memihak 2-0 kepada tuan rumah.

Pada separuh masa kedua, lima minit pertama Malaysia nyaris menambah dua lagi jaringan bagaimanapun berjaya diselamatkan penjaga gol Brunei, Muhammad Haimie Abdullah Nyaring.

Malaysia terus menguasai permainan di separuh masa kedua dengan mengatur serangan menerusi asakan demi asakan di gawang lawan.

Kali ini Malaysia terus menambah jaringan pada minit ke-57 menerusi Mohamad Faisal Abdul Halim dengan rembatan cantik dari dalam kawasan kotak penalti.

Pemain Malaysia, Mohamadou Sumareh membuat tandukan ke pintu gol lawan sambil dikawal pemain Brunei, Abdul Muiz Sisa pada perlawanan persahabatan antarabangsa Malaysia menentang Brunei di Stadium Nasional Bukit Jalil. Foto MOHD ADZLAN, 27 MEI 2022.

Selepas gol ketiga, Malaysia nyaris menambah lagi jaringannya pada minit ke-60 dan juga 63 namun boleh melantun tinggi melepasi palang gol pasukan lawan.

Malaysia terus berpesta gol ke atas pasukan pelawat selepas menerima sepakan penalti apabila  Muhammad Akhyar Abdul Rashid diterjah keras dan dijatuhkan oleh pemain pasukan lawan.

Hasilnya Guilherme de Paula menjaringkan gol keempat pasukan tuan rumah tanpa masalah pada minit ke-83 tadi sebelum perlawanan 90 minit tamat dengan Malaysia menang 4-0 ke atas Brunei malam tadi.

Pada perlawanan persahabatan kedua 1 Jun ini, Malaysia akan menentang pasuakan terkuat iaitu Hong Kong di Stadium Nasional Bukit Jalil pukul 9 malam. – MalaysiaGazette