KUALA LUMPUR – Kemenangan selesa 4-0 pasukan Malaysia menentang Brunei Darussalam dalam aksi Persahabatan Antarabangsa 2022 di Stadium Bukit Jalil malam ini telah meningkatkan semangat juang pasukan Harimau Malaya.
Ketu jurulatihnya, Kim Pon Gan berkata, kemenangan positif dalam perlawanan pertama antarabangsa di halaman sendiri adalah suatu yang manis dan mengujakan pasukannya.
Beliau bagaimanapun tidak mahu rasa selesa dengan keputusan itu walaupun kemenangan itu menambah keyakinan mereka untuk berdepan lawan terkuatnya Hong Kong pada 1 Jun ini.
Pon Gan juga telah membuat ketetapan untuk tidak membuat sebarang komen mengenai persembahan individu pemainnya dalam pasukan semasa menentang Brunei pada malam tadi.
“Sememangnya menang dalam aksi pertama di gelanggang sendiri dan depan penyokong sendiri adalah suatu yang kami harapkan dan sepatutnya kami boleh beraksi lebih baik lagi dari segi menjaringkan gol.
“Di sini saya tak boleh salahkan pemain aku secara persembahan individu (terlepas peluang menambah jaringan).
“Saya sebaliknya senantiasa cuba memahami pemain saya dari aspek emosi, ketekunan, disiplin, semangat juang yang tinggi serta kesanggupan mereka untuk sentiasa kekal sebagai satu pasukan dan bekerja keras untuk mengejar kemenangan.
“Mereka perlu terus kekalkan momentum permainan dengan taktikal menyerang dan ia boleh membangkitkan semula Harimau Malaya sebagai pasukan terbaik di rantau ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan di sini malam tadi.
Tambah Pon Gan, kehadiran penyokong dan sorakan mereka juga harus dipuji kerana kesetiaan yang ditunjukkan mereka di stadium sepanjang perlawanan secara tidak langsung meningkatkan semangat perjuangan skuadnya atas padang untuk menang perlawanan tersebut.
Lagi pun katanya, beliau tidak berapa memberi keutamaan terhadap formasi pasukan di atas padang.
“Yang saya cuba fahamkan dan terapkan kepada anak buah saya adalah mempamerkan aksi berkumpulan secara agresif atau high pressing game sehingga perlu memaksa lawan kita melakukan kesilapan supaya kita boleh mencipta peluang dan membuka jaringan dna yang utama sekali kekal sebagai satu pasukan.
“Saya tidak mahu mengadu persembahan invidu membabitkan pemain saya, kalau mereka boleh beraksi secara berkumpulan dan mempamerkan permainan yang menghiburkan semua, itu mencukupi..kalah menang adalah soal kedua.
“Yang penting mereka memahami peranan masing-masing atas padang. Pada tujuh hari terakhir ini, bayangkan semua pemain saya berlatih seperti anjing dan berlari seperti kuda tanpa mengenal erti penat demi kemenangan pasukan.
“Bagaimana saya boleh mengadu dan mengkritik persembahan mereka…sebaliknya saya perlu meningkatkan prestasi persembahan mereka supaya lebih kental ketika berdepan pasukan lebih kuat nanti agar tidak hilang fokus dan rentak permainan atas padang,” tegasnya. – MalaysiaGazette