KUALA LUMPUR – Orang ramai digalakkan untuk menyimpan emas kerana ia boleh menstabilkan ekonomi individu ketika inflasi.
Ketua Pegawai Eksekutif KAB Goldynamics Sdn Bhd, Mohamed Khairul Anuar Mohd Basri berkata, sikap menangguh untuk memiliki emas hanya akan merugikan dan tanggapan sesetengah orang bahawa emas adalah satu aset yang mahal untuk dimiliki adalah persepsi yang perlu dikikis.
“Bila kita tahu emas semakin murah ialah apabila kita melihat ke belakang.
“Sebagai contoh hari ini kita lihat harga emas RM280 bagi satu gram dan ada orang kata ia sangat mahal. Tapi, bila kita mempunyai ilmu, punyai pengalaman mereka akan tahu bahawa membeli emas pada masa sekarang adalah sangat murah.
“Kalau kita tengok 10 tahun lepas harga emas adalah sekitar di bawah RM200 segram…dan apabila sejarah begitu ke depan ia akan berulang sejarah yang sama…kita akan tahu bahawa emas hari ini yang dikatakan mahal sebenarnya murah pada 10 tahun akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada MalaysiaGazette ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri KAB Gold 2022 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Khairul Anuar berkata, ramai yang mungkin akan mengeluh pada masa akan datang sekiranya mereka tidak memiliki emas pada hari ini.
Ini kerana katanya, harga emas akan sentiasa meningkat dan ketakutan untuk memiliki emas ekoran bimbang terhadap harganya boleh diatasi dengan ilmu.
Tambah beliau, dengan KAB Gold mereka boleh mendapatkan emas mengikut kemampuan masing-masing dan apa yang paling penting dengan membeli emas ia dapat membaiki hidup mereka pada masa akan datang.
“Kena ingat, apa yang menyebabkan kita kaya bukanlah sebab kita memiliki emas tapi ilmu tentang emas. Buat apa sahaja tapi kalau kita tiada ilmu maka kita akan kerugian…kalau tak rugi duit pun mungkin akan rugi dari sudut masa, tenaga dan sebagainya.
“Akhirnya kita tak nampak kecantikan, maka kita mula merasakan ini tak penting, ini tak bagus, tak untung…jadi tambahlah ilmu kerana ia akan menyebabkan kita jadi kaya.
“Siapa yang ada duit tidak semestinya dia ada emas…tapi siapa yang ada emas pasti dia ada duit,” katanya. – MalaysiaGazette