SEPANG – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak meletakkan sebarang sasaran terhadap skuad Bola Sepak Bawah 23 Kebangsaan (B23) pada kempen Piala Asia 2022 yang akan membuka tirai di Tashkent, Uzbekistan bermula 1 Jun ini.
Sebaliknya, Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar mengharapkan bahawa Harimau Muda menggunakan dan memanfaatkan sepenuhnya kejohanan kali ini sebagai medan persiapan untuk menghadapi temasya sama pada tahun hadapan.
Jelas beliau, sekiranya mereka dapat memperbaiki persembahan kali ini dan mampu mencipta sesuatu yang terbaik dengan mara ke separuh akhir pada tahun depan.
“Kami tidak meletakkan sebarang sasaran untuk anak muda kita di Uzbekistan kali ini. Sebelum ini didakwa kami telah mengharapkan skuad kita mara ke Separuh Akhir pada temasya kali ini tetapi ingin memperbetulkan fakta itu bahawa kalau kita mara ke pusingan seterusnya sudah cukup memadai.
“Apa yang penting adalah mereka pergi ke sama dan menimba ilmu serta pendedahan terbaik berdepan pasukan-pasukan terkuat Asia antaranya Korea Selatan,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi tadi.
Skuad Harimau Muda tiba ke Balai Pelepasan KLIA untuk mendaftar masuk pintu antarabangsa di Kaunter 16 L sekitar jam 7.15 padi bersama Jurulatihnya Brad Maloney.
Tambah Saifuddin, sekiranya skuadnya berjaya mara ke empat pasukan terbaik atau pun pusingan separuh akhir pada Piala Asia 2023 nanti, ia akan melayakkan mereka beraksi dalam Sukan Olimpik 2025 di Tokyo, Jepun.
Ujarnya, pihaknya tidak mahu meletakkan beban tanggungjawab yang besar pada bahu skuad muka kebangsaan itu dan merasakan adalah lebih baik mereka terlebih dahulu mempamerkan aksi berpasukan yang terbaik.
“Saya telah melihat persiapan mereka kali ini ke Piala Asia sejurus selepas mengharungi temasya Sukan SEA meskipun gagal membawa pulang sebarang pingat yang dijangkakan.
“Apa yang penting untuk kami adalah mereka menjadikan temasya di Uzbekistan kali ini sebagai platform pendedahan terbaik dan meningkatkan prestasi setiap pemain pasukan,” ujar beliau.
Ditanya apakah badan induk itu tidak berani meletakkan sasaran pada temasya kali ini, beliau berkata itu bukan sebabnya.
“Bukan ertinya FAM tidak berani atau tidak yakin pada skuad kami tetapi, kalau nak letak sasaran pun kena realistik, kena ukur baju di badan sendiri,” katanya.- MalaysiaGazette