Home Politik Putra susun semula kepimpinan Sabah – Tok Him

Putra susun semula kepimpinan Sabah – Tok Him

Dr. Ibrahim bersama barisan kepimpinan lama dan baharu Putra Sabah.

KOTA KINABALU – Barisan kepimpinan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Sabah disusun semula sebagai persediaan menghadapi pelbagai cabaran mendatang yang bakal dilalui selepas lebih dua tahun berdepan dengan pandemik Covid-19.

Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, susunan kepimpinan itu dilakukan pada perjumpaan dan Mesyuarat Badan Perhubungan Putra Sabah di Kota Kinabalu, semalam.

Katanya, Putra negeri itu kini telah melengkapi 25 bahagian dengan enam sudah sah mengikut syarat Jabatan Pertubuhan Pendaftaran Malaysia (RoS) dan 19 bahagian lagi pada peringkat penaja.

“Sempena mesyuarat perhubungan Putra Sabah semalam, kepimpinan negeri telah disusun semula bagi kemas kini cabaran mendatang parti pada masa akan datang.

“Dalam mesyuarat ini, dua tokoh dari Sabah diumum sebagai Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Putra dan pelantikan dua Timbalan Pengerusi Perhubungan negeri,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Ibrahim Ali mempengerusikan Mesyuarat Perhubungan Putra Sabah di Kota Kinabalu, semalam

Pelantikan itu melibatkan Ketua penaja Putra Bahagian Batu Sapi, Boni Abdullah dilantik sebagai ADT merangkap Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Putra Sabah yang bertanggungjawab di Bahagian Pantai Timur.

Ketua Penaja Putra Bahagian Kota Belud, Kanul Gindul turut dilantik ADT dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Putra Sabah yang bertanggungjawab bagi kawasan Pantai Barat.

Dalam pada itu, Pengerusi Perhubungan Putra negeri, Jeffrus Maimin mengumunkan pelantikan Ketua Putra Bahagian Sepanggar, Yusof Sainudin sebagai Setiausaha Perhubungan; Ketua Putra Bahagian Persiangan, Pengiran Awangku Ali Pengiran Panji (Ketua Penerangan); dan Ketua Bahagian Sepitang, Mohd Zain Abdullah@Join Gorob (Bendahari).

Menurut Dr. Ibrahim, beliau gembira dengan perkembangan dan peningkatan Putra Sabah yang sebelum ini terbantut akibat pandemik Covid-19.

“Selepas Putra menerima kelulusan daripada RoS pada 8 Mei 2019, negara diserang pandemik Covid-19 dan berdepan dengan pelbagai syarat SOP.

“Ini menyaksikan cabaran yang dilalui oleh pimpinan Putra di peringkat akar umbi dihadapi dengan cekal, sabar dan pengorbanan yang hebat.

“Ada segelintir yang tewas dengan pelbagai karenah dan hanya yang cekal, jujur serta ikhlas mampu meneruskan perjuangan dengan wadah Putra,” katanya.

Beliau bagaimanapun yakin Putra akan menjadi pilihan umat Melayu Islam kerana ia satu-satunya parti tegas dan tidak bersifat hipokrit, munafik serta bukan jenis menang sorak kampung tergadai. – MalaysiaGazette