SEPANG – Jurulatih pasukan kebangsaan Harimau Muda Bawah 23 tahun (B-23) negara menjangkakan laluan sukar menentang Korea Selatan pada aksi pertama Kempen Piala Asia B23 2022 kali ini.
Saingan Piala Asia 2022 B23 akan membuka tirai pada 1 Jun ini di Thaskent, Uzbekistan.
Skuad Harimau Muda negara akan bertemu skuad Korea Selatan pada 2 Jun ini.
Brad Maloney berkata, pihaknya tidak meletakkan harapan tinggi atau sebarang sasaran pencapaian terhadap anak buahnya.
Bagaimanapun beliau mahu anak buahnya menggunakan sepenuhnya peluang beraksi dalam Piala Asia 2022 bagi menimba pengalaman bermakna meningkatkan prestasi mereka.
“Selepas mengharungi saingan agak mencabar juga dalam Sukan SEA kini kita akan berangkat ke saingan kempen Piala Asia B23 di Uzbekistan.
“Sudah pasti pertemuan pertama kami adalah berdepan Korea Selatan, yang mana salah satu pasukan terkuat di Asia dan ia adalah laluan sukar untuk kami.
“Bagaimanapun kami tidak meletakkan harapan atau sebarang sasaran tinggi dalam kempen kali ini, kalau dapat beraksi baik dan mengikat seri dengan memperoleh satu mata pun sudah memadai.
“Tetapi yang penting adalah pergi ke sana dan mempamerkan aksi terbaik,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur awal pagi tadi.
Pasukan 23 pemain telah tiba ke KLIA jam 7.15 pagi tadi sebelum mendaftar masuk di kaunter 16 L pelepasan antarabangsa untuk penerbangan yang dijadualkan ke Uzbekistan pada jam 9.30 pagi.
Turut hadir untuk memberikan kata-kata semangat kepada skuad Maloney adalah Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Saifuddin Abu Bakar di balai Pelepasan Antarabangsa KLIA.
Maloney juga menambah, ketika ini pasukannya bebas daripada sebarang masalah kecederaan termasuk kapten pasukannya dari Selangor FC, Mukhari Ajmal.
“Kepulangan semula beberapa pemain utama termasuk Mukhairi telah menambah semangat berpasukan dan semua bebas dari sebarang masalah kecederaan serta cergas,” ujarnya.
Mukhairi ketika ditanya mengenai persiapan pasukannya berkata, dia yakin pasukannya dapat memberikan persembahan terbaik di Uzbekistan nanti.
“Saya lihat persiapan kami setakat ini ada peningkatan sedikit, insyallah perlawanan dengan Korea Selatan ini perlukan lebih fokus.
“Malah, tiada pertukaran dalam senarai kesebelasan utama yang beraksi di Sukan SEA di Vietnam juga satu kelebihan agar dapat beraksi secara berpasukan sebab sudah bersama di sukan SEA yang mana boleh memberikan komitmen sepenuhnya kali ini.
“Bagi saya juga, saya tengok kita ada kekurangan dari segi aspek penyudah (cipta gol) atas padang tapi saya tengok Luqman Hakim Shamsudin dan Hadi Fayyadh serta kebanyakan player dah buat usaha tambahan untuk memperbaiki finishing,” ujarnya.
Malah katanya, pasukan tidak memandang mudah ke atas lawannya dari Korea tetapi sebagai kapten pasukan optimis akan sentiasa berkomunikasi dengan rakan sepasukan untuk membarikan yang terbaik di Uzbekistan nanti. – MalaysiaGazette