IPOH – Dua lelaki termasuk seorang anggota polis cedera terkena mercun di luar Stadium Perak di Ipoh, malam tadi sejurus tamat separuh akhir pertama Piala Malaysia Perak menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).
Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Sum Chang Keong berkata, mangsa merupakan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh dan seorang penyokong JDT.
Beliau berkata, sedikit kekecohan berlaku sesama penyokong sebaik tamat perlawanan, namun anggota polis berjaya menyuraikan keadaan kira-kira 12.30 malam.
“Kekecohan dipercayai hanya membabitkan penyokong tuan rumah kerana penyokong JDT telah keluar dari stadium dan menaiki bas dengan diiringi anggota polis,” katanya memetik laporan Bernama sebagai berkata.
Sum berkata, jumlah sebenar tangkapan belum dapat dipastikan, namun setakat ini beberapa individu ditahan antaranya mereka yang disyaki membaling mercun.
Tambahnya, lebih 1,000 pegawai dan anggota polis termasuk Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dikerahkan mengawal keselamatan sepanjang perlawanan berlangsung bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.
Pada perlawanan itu, Perak dan JDT terikat seri 1-1, masing-masing menerusi jaringan sendiri pemain JDT Mohamad Hasbullah Abu Bakar dan penyerang import dari Lubnan, Mohamad Ghaddar. – MalaysiaGazette