Home Utama Belum puas main dengan Tia, Allah pinjamkan sekejap sahaja – Rita

Belum puas main dengan Tia, Allah pinjamkan sekejap sahaja – Rita

Rita Endrawati Daud, ibu kepada arwah adik Siti Nur Athiyya Sofea Muhammad Sukri tidak mampu menahan sebak dan hanya mencium pakaian anaknya bagi mengubat rindu ketika ditemui di perkarangan Unit Forensik HTAA, Kuantan hari ini

KUANTAN – Ibu kanak-kanak mati lemas, Rita Endrawati hanya mampu mencium gumpalan pakaian yang menjadi persalinan terakhir Siti Nur Athhiyya Soffea Muhammad Shukri bagi melepaskan kerinduannya.

Walaupun redha dengan apa yang berlaku namun wanita berusia 46 tahun itu mengucup banyak kali t-shirt berwarna lavender dan seluar kuning cair anak bongsunya yang mesra dipanggil Tia.

“Belum puas main dengan Tia, Allah pinjamkan sekejap sahaja. Redha dia pergi tetapi ibu mana yang tak merasa sedih dengan pemergian ini.

“Baru sahaja Tia kata, nak balik jumpa atuk dan neneknya, rupanya ini cara Tia ucap selamat tinggal kepada kami,” katanya.

Beliau yang ditemui MalayisaGazette di perkarangan Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) hari ini kemudiannya ditenangkan oleh suami, adik lelakinya serta ahli keluarga.

Rita berkata, pakaiaan tersebut pernah dipakai arwah sempat bergambar bersama ibu saudaranya sebelum menukar baju raya berwarna merah gelap pada jamuan raya di rumah rakit.

Siti Nur Athhiyya ditemui mati lemas kira-kira 1.5 kilometer Rumah Rakit Bukit Rangin di sini hari ini selepas hilang kelmarin selepas terjatuh dari rumah rakit milik ayahnya.

Kali terakhir Siti Nur Athhiyya Soffea dilihat memakai baju kurung merah gelap majlis dilihat pada pukul 11.15 malam pada Jumaat lalu sebelum dilaporkan hilang oleh bapanya.

Menyedari kehilangan anaknya selepas menghidangkan rendang, Rita terus bertanya kepada anak sulung dan ahli keluarga mencari sekelililng rumah rakit namun tidak berhasil.

Bapa mangsa kemudiannya membuat laporan polis dan operasi mencari dan menyelamat dilakukan oleh agensi terlibat dan dibantu oleh ahli keluarga dan orang awam.

Siti Nur Athiyya dilahirkan pada 5 Januari 2019 itu merupakan anak bongsu daripada empat adik-beradik ditemui pukul 11.35 pagi tadi oleh bapa saudaranya, Muhammad Anuar Abdul Malik, 30,  bersama pasukan penyelamat di celah pokok kayu bakau.

Lebih memilukan ibunya, karekter Tia yang lincah, manja, petah bercakap membuatkannya sangat terasa kehilangannya.

Mereka sekeluarga juga dikatakan menghuni rumah rakit bilik bapa mangsa, Muhammad Sukri, 50, di atas Sungai Bukit Rangin selepas bencana banjir melanda baru-baru ini.

Proses pengecaman jenazah dilakukan oleh ahli keluarga dan kini sedang menantikan laporan bedah siasat selepas ujian keputusan calitan Covid-19 esok sebelum proses pengurusan jenazah.

Jenazah kemudiannya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Rangin. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kanak-kanak terjatuh dari rumah rakit ditemui mati lemas