KUALA LUMPUR – Hasrat dua beradik warga asing menjala ikan berakhir dengan tragedi apabila salah seorangnya mati lemas selepas terjatuh dalam pusaran air sungai tersebut di Kampung Kerdas 5, Batu 6, Gombak dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, lelaki yang menjadi mangsa berusia 37 tahun.
“Semasa kejadian sekitar jam lebih kurang pukul 12 tengah hari mangsa meninggalkan rumah bersama adiknya untuk aktiviti menjala di Sungai Kampung Kerdas 5.
“Kedua-dua mangsa berjalan kaki ke Gombak Barrage untuk menuruni sungai dan telah terjatuh di dalam pusaran air,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Zainal, keadaan air yang deras menyebabkan mangsa lemas manakala mangsa kedua berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung yang berada berdekatan ldengan menggunakan tali.
Bagaimanapun, katanya, mayat si mati telah dijumpai terdampar di atas batu oleh penduduk kampung kira-kira 300 meter dari lokasi sebenar kejadian.
“Hasil pemeriksaan fizikal pada badan si mati terdapat kesan lebam pada dahi dan dihantar ke Forensik Hospital Selayang untuk tujuan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya.
Kes telah diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga laporan bedah siasat diketahui. – MalaysiaGazette