Home Rencana Mengurus masa dalam fasa endemik

Mengurus masa dalam fasa endemik

Setiap orang perlu bijak mengurus masa

MASA merupakan makhluk Allah SWT yang ajaib dan merupakan satu nikmat serta anugerah terbesar yang berterusan untuk manusia di mana ia perlu diatur penggunaanya dengan baik sekiranya seseorang mahu mencapai kejayaan dalam kehidupan. Aspek penjagaan masa amatlah penting dan ditekankan dalam Islam seperti mana firman Allah SWT dalam Surah Al-Asr, ayat satu hingga tiga yang bermaksud “Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Melainkan orang yang beriman dan beramal soleh, serta berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran.” Malah kepentingan menjaga masa ini turut dinukilkan oleh Imam Hasan al-Basri melalui nasihatnya yang bermaksud “Wahai anak Adam, sesungguhnya kamu terdiri daripada bilah-bilah hari yang apabila sebahagian waktu dari diri kamu telah pergi, bermakna sebahagian lagi dari diri kamu akan pergi menemui Allah SWT”. Oleh itu, setiap manusia harus bijak mengurus masa agar ia dapat memberikan manfaat dan membawa kepada kejayaan dalam hidup.

Wabak Covi-19 yang kini telah memasuki fasa peralihan ke endemik bermula 1 April 2022 yang lalu menuntut masyarakat untuk menjadi individu yang lebih fleksibel dan efisien dalam aspek pengurusan masa. Jika dahulu, kebanyakan individu mempunyai lebih banyak masa bersama keluarga susulan arahan bekerja dari rumah (work from home). Namun kini, kebanyakan sektor telah beroperasi seperti biasa dan memerlukan individu untuk berada di tempat kerja seperti sebelum pandemik. Hal ini mungkin agak sukar bagi sesetengah individu setelah beradaptasi dengan cara kerja dari rumah sewaktu pandemik terdahulu. Justeru, aspek pengurusan masa amatlah penting bagi menjamin kelangsungan aktiviti dalam kehidupan seharian kita.

Pastikan anda mengatur semula jadual waktu anda. Bagi individu yang bekerja, kita digalakkan bangun awal pagi supaya lebih bersedia untuk segala kemungkinan. Hal ini amat penting bagi wanita yang bekerja kerana selain mereka harus menyiapkan diri untuk ke tempat kerja, mereka juga harus melayani kerenah anak-anak, menyiapkan sarapan dan jugamenyediakan kelengkapan suami atau anak-anak untuk ke tempat kerja atau sekolah. Sekiranya, amalan bangun di awal pagi ini dipraktiskan secara konsisten, perjalanan aktiviti dalam kehidupan kita pada hari tersebut akan berjalan lancar.

Selain itu, pastikan diri kita jelas dan tahu membezakan antara perkara yang penting dan perlu diselesaikan segera dengan perkara yang boleh dilakukan kemudian. Misalnya, aktiviti menghantar dan mengambil anak-anak dari rumah pengasuh atau pusat jagaan haruslah dipandang penting dan ibu bapa haruslah melakukan perkara tersebut pada waktu yang tepat. Hal ini menuntut individu untuk menjadi seorang yang multi-tasking. Namun begitu, sekiranya individu berasa sukar untuk melakukannya secara berseorangan, mintalah bantuan daripada individu lain seperti suami, rakan atau ahli keluarga terdekat. Apabila ada individuyang dapat memberikan pertolongan, maka ianya sedikit sebanyak dapat meringankan beban kerja yang dipikul.

Pengisian masa yang baik dengan regulasi emosi yang terkawal dapat menghadirkan kebahagiaan. Penetapan mood dan emosi yang positif amatlah penting bagi individu dalam memainkan peranan dan tanggungjawab terhadap keluarga sebaiknya. Norma baharu yang wujud ini memberi ruang masa dan peluang kepada individu untuk muhasabah diri dan melakukan penilaian semula terhadap sebarang masalah dan tekanan yang dihadapi. Pengaplikasian regulasi emosi yang berkesan dapat menghalang daripada berlakunya kemurungan berpanjangan dan memecahkan kebuntuan yang wujud. Misalnya, ruang masa yang wujud bersama ahli keluarga digunakan sebagai platform dalam menyalurkan emosi dengan menggunakan pendekatan meluahkan masalah dan perasaan negatif yang wujud bagi mengurangkan tekanan dan menghadirkan kebahagiaan.

Kesimpulannya, ruang masa yang wujud semasa wabak Covid-19 ini merupakan suatu anugerah yang perlu disyukuri dan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti berfaedah. Fasa pandemik yang baru sahaja berakhir sepatutnya menjadikan diri individu untuk menjadi lebih matang dan lebih bersedia dalam berhadapan dengan cabaran pengurusan masa. Elakkan pembaziran masa. Manfaatkan masa dengan melakukan perkara-perkara yang berfaedah. Perbanyakkan muhasabah diri dalam setiap ujian yang telah ditakdirkan oleh Allah SWT. Pada masa yang sama juga, individu haruslah sentiasa mendidik diri dengan mempertingkatkan amalan untuk lebih dekat dengan pencipta agar hidup sentiasa dilindungi dan dipelihara oleh Allah SWT. Pepatah Melayu ada mengatakan ‘masa itu emas’. Jadi, manfaatkanlah masa kerana ia amat bernilai.

Dr. Abdul Rashid Bin Abdul Aziz
Pensyarah Kanan, Program Kaunseling,
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia