KUALA LUMPUR – Pelabur runcit kembali sebagai pembeli bersih dengan jumlah RM135.1 juta, berikutan jualan bersih oleh pelabur institusi tempatan dan pelabur asing.
Kali terakhir pelabur runcit menjadi pembeli bersih tunggal adalah pada minggu berakhir 15 April.
MIDF Research berkata, pelabur asing sekali lagi menjadi penjual bersih selepas menjadi pembeli bersih selama dua minggu yang singkat dengan aliran keluar sebanyak RM83 juta pada minggu berakhir 27 Mei 2022.
Manakala pelabur institusi kekal sebagai penjual bersih untuk minggu ketiga berturut-turut sebanyak RM52.1 juta.
Sehingga kini, dana antarabangsa telah menjadi pembeli bersih selama 16 daripada 21 minggu 2022, dengan jumlah aliran masuk bersih sebanyak RM6.92 bilion.
Mereka adalah penjual bersih pada hari Isnin dan Selasa sebanyak RM199 juta sebelum menukar pembeli bersih dari hari Rabu hingga Jumaat berjumlah RM116 juta.
Firma penyelidikan ini menambah, institusi tempatan adalah penjual bersih sepanjang minggu kecuali pada hari Selasa, dengan belian bersih berjumlah RM87.1 juta.
Aliran keluar paling ketara pada hari Jumaat sebanyak RM77.6 juta.
Pelabur institusi telah menjadi penjual bersih selama 18 daripada 21 minggu tahun ini.
Sehingga kini, mereka telah melupuskan sebanyak RM8.16 bilion ekuiti.
Manakala pelabur runcit adalah pembeli bersih setiap hari dalam seminggu kecuali pada hari Rabu, apabila mereka menjual hanya RM260,000 ekuiti.
Hari belian bersih paling kukuh mereka ialah hari Selasa, pada RM75.9 juta.
Peruncit tempatan telah menjadi pembeli bersih selama 13 daripada 21 minggu 2022 sengan belian berjumlah RM1.24 bilion.
MIDF Research menambah, dari segi penyertaan, semua kelas pelabur menyaksikan penurunan untuk minggu ini.
Katanya, pelabur asing menyaksikan penurunan purata nilai dagangan harian (ADTV) sebanyak 19.7%.
Pelabur runcit dan institusi masing-masing merekod penurunan sebanyak 6.5% dan 17.5% dalam ADTV. – MalaysiaGazette