Home Nasional KKM tarik balik pasaran mentega kacang Jif

KKM tarik balik pasaran mentega kacang Jif

Mentega kacang jenama Jif.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menarik balik produk mentega kacang berjenama Jif kerana dikhuatiri tercemar dengan bakteria Salmonella selepas menerima notifikasi daripada International Food Safety Authorities Networks (INFOSAN).

Notifikasi berkenaan menyatakan Pihak Berkuasa Dadah dan Makanan, Amerika Syarikat (USFDA) telah mengarahkan produk mentega kacang ditarik balik.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penjual hendaklah menghentikan penjualan produk terlibat dengan nombor batch di antara 1274425 hingga 2140425 dengan tiga digit terakhir 425 dengan serta-merta.

Manakala pengguna yang telah membeli produk tersebut dengan nombor batch terlibat diminta untuk tidak memakan produk tersebut.

”KKM telah meminta pihak syarikat yang mengimport menarik balik produk yang terlibat di pasaran. Selain itu, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan memantau di semua pintu masuk negara bagi memastikan tiada produk terlibat memasuki ke negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Salmonella merupakan sejenis bakteria yang boleh menyebabkan keracunan makanan sekiranya terdapat dalam makanan seperti daging, ayam, telur, buah-buahan, sayur-sayuran dan makanan yang telah diproses jika aspek kebersihan diabaikan atau makanan tidak diproses dengan
sempurna. – MalaysiaGazette