KUALA LUMPUR – Sebuah bas institut pengajian tinggi yang melanggar empat buah kenderaan lain berlaku selepas bas yang diparkir di hadapan sebuah hotel di Jalan Jati, Pekan Goh Tong Jaya, Genting Highlands mengundur secara sendiri.
Kejadian yang berlaku lebih kurang jam 6 petang semalam namun tidak mencederakan sesiapa.
Ketua Polis Daerah Bentong, Supritendan Zaiham Mohd Kahar berkata, siasatan awal mendapati bas tersebut diletakkan di lokasi berkenaan dalam keadaan enjin dimatikan pada jam 5 petang.
Pemandu bas, seorang lelaki tempatan telah keluar dari kenderaannya untuk beriadah.
“Pada jam lebih kurang 6 petang, kenderaan tersebut dipercayai bergerak sendiri secara mengundur dan melanggar empat kenderaan lain di tepi jalan.
“Empat buah kenderaan itu mengalami pelbagai kerosakan,” ujarnya.
Pemandu berkenaan disiasat di bawah Peraturan 14(1)(B) LN 166/59 tidak menaikkan brek tatkala meninggalkan kenderaan. – MalaysiaGazette