Home SISWA UTeM perintis program Google Cloud Computing Foundations peringkat IPTA

UTeM perintis program Google Cloud Computing Foundations peringkat IPTA

Sebahagian daripada para peserta Google Cloud Computing Foundations (GCCF).

MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang berkepakaran tinggi dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi telah terpilih sebagai perintis melaksanakan program Google Cloud Computing Foundations (GCCF) peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam Malaysia (IPTA) Malaysia.

Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, program ini membolehkan para pelajar mempelopori Teknologi Pengkomputeran Awan (Cloud Computing) yang menjadi trend teknologi pada masa kini, selain membuka peluang kepada pelajar menyertai program Google Career Readiness melalui trek Associate Cloud Engineer (ACE) atau trek Data Analyst.

Antara kelebihan lain menerusi program ini juga para pelajar turut berpeluang menduduki peperiksaan Pensijilan Profesional Associate Cloud Engineer (ACE).

Program ini telah dijayakan menerusi Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK) dan seramai 64 orang pelajar Diploma Teknologi Maklumat telah terpilih bagi menyahut cabaran pembelajaran program GCCF ini yang diadakan secara self paced selama 6 bulan bermula pada Oktober 2021 sehingga April 2022 lalu.

Ketua Jabatan Diploma FTMK merangkap Pengarah Program GCCF, Ts Dr Noraswaliza Abdullah berkata, melalui program ini pelajar berpeluang memahami pengetahuan asas yang melibatkan Infrastruktur Rangkaian, Pembelajaran Mesin dan Data Raya yang digabungkan dalam pengkomputeran awan.

Katanya, dengan pendekatan pembelajaran Self-paced, pelajar perlu memperuntukan masa selama 40 jam untuk memahami video, melakukan 32 praktikal makmal menggunakan platform Qwiklabs serta melengkapkan 4 Lab Challenges.

”Hasil akhir program ini seramai 43 pelajar telah berjaya menamatkan program dan layak memperolehi 4 Quest Badges dan 4 Skill Badges sekaligus membuktikan pelajar Diploma Teknologi Maklumat UTeM kompeten dalam bidang Pengkomputeran Awan yang menjadi tren teknologi pada masa kini,” katanya.

Program ini merupakan inisiatif Dekan FTMK, Profesor Ts Dr Rabiah Ahmad hasil kerjasama dengan pihak Google (India) yang diwakili oleh Pengurus Programnya Isha Porwal menerusi kelolaan kumpulan pensyarah FTMK yang terdiri daripada Prof Datuk Ts Dr Shahrin Shahib, Ts Dr Zulkiflee Muslim, Ts Dr Noraswaliza Abdullah dan dibantu oleh 15 pensyarah terlatih. – MalaysiaGazette