MANCHESTER – Jose Mourinho kembali mencetuskan kontroversi apabila memberi bayangan ingin menguruskan sebuah kelab gergasi Perancis pada masa hadapan.
Jawapan pengendali Portugal kepada program sukan di Perancis, Telefoot dilihat bertentangan dengan hasrat Manchester United yang dikatakan bersedia untuk menawarkan kontrak baharu kepada Mourinho dengan nilai 65 juta pound sterling.
Tempoh kontrak baharu itu dikatakan selama lima tahun untuk Mourinho kekal di Old Trafford.
Ketika ini, gaji asas Mourinho sebanyak 250,000 pound sterling seminggu namun dia mendapat kenaikan tambahan dalam pakej baharu itu susulan prestasi cemerlangnya.
Bagaimanapun pengurus berusia 54 tahun itu yakin dia tidak akan menamatkan kariernya bersama Red Devils.
Sebaliknya, Mourinho mengakui dia amat mengagumi Paris Saint Germain (PSG).
“Mengapa Paris? Kerana ada sesuatu yang istimewa di sana.
“Magis, kualiti, pemain muda, ia amat menakjubkan,” kata Mourinho.
Mourinho akan mengemudi anak buahnya berkunjung ke Benfica pada Rabu ini dan berusaha untuk mengekalkan kemenangan pada aksi Liga Juara-Juara selepas menundukkan Basel dan CSKA Moscow sebelum ini. – MalaysiaGazette