KUALA LUMPUR – Cyberview Sdn Bhd (Cyberview) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Les’Copaque Production untuk meneroka potensi pembangunan taman tema Upin & Ipin di Cyberjaya.
Taman tema itu disasarkan disiapkan menjelang 2024/2025 dengan kehadiran kira-kira 2 juta pelawat setiap tahun terdiri daripada kalangan peminat tempatan dan antarabangsa,
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Pengarah Urusan Cyberview Datuk Najib Ibrahim berkata “Taman tema Upin & Ipin berupaya untuk merapatkan industri animasi dan peminat secara berkesan melalui pengalaman di lapangan.
“Dengan tumpuan kami pada kreativiti digital, taman tema itu umpama sekeping teka-teki yang dicantumkan dengan sempurna, sekali gus meningkatkan nilai komersial sampingan kepada IP tempatan, selain menggalakkan lagi penyertaan bakat tempatan dalam industri kandungan kreatif,”.
Mohd Najib berkata taman itu dijangka menyumbang kepada impak ekonomi yang berlipat kali ganda kepada bandar raya itu (Cyberjaya).
“Cyberview mengunjurkan bandar itu akan menjana RM250 bilion dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), membuka sebanyak 87,000 peluang pekerjaan dan penyertaan 1,200 syarikat menjelang 2045,” katanya.
Cyberjaya dipilih berikutan lokasinya yang strategik dan sokongan sekian lama terhadap pemupukan industri animasi dan penciptaan kandungan dalam kalangan pemain tempatan.
Pembangunan yang dicadangkan berlatarkan belakang tradisional yang unik akan menampilkan IP eksklusif daripada Les’Copaque, yang diketuai oleh ikon animasi yang memenangi anugerah studio, Upin & Ipin, bersama-sama IP popular lain seperti Puteri dan Pada Zaman Dahulu.
Taman tema itu juga bersedia untuk menawarkan pengunjungnya tarikan yang mengasyikkan dan pengalaman melalui pelbagai kandungan interaktif yang direka bentuk secara interaktif, seperti ‘Rumah Opah’ di studio interaktif, taman interaktif Upin & Ipin, dan taman keseronokan luar.
Komponen utama lain termasuk Terowong Mistik, Rumah Hijau Pada Zaman Dahulu & Taman Maze Luaran, pawagam Interaktif 4D dan medan selera bertema Warong Muthu.
Pengarah Urusan Les’ Copaque Production Burhanuddin Md Radzi berkata taman tema itu bina sebagai kebanggaan rakyat Malaysia, kerana ia adalah jenama keluaran tempatan dan bakal menjadi setanding dengan taman tema antarabangsa yang lain.
“Upin & Ipin bukan sahaja menarik rakyat Malaysia tetapi seluruh Asia Tenggara, lebih-lebih lagi peminat sepanjang hayat di Indonesia. Ini secara langsung akan membantu meningkatkan industri pelancongan, pembuatan dan peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia,” katanya.- BERNAMA