Home Ekonomi Kek isirong ganti makanan ayam, dasar eksport perlu dikaji semula – Zuraida

Kek isirong ganti makanan ayam, dasar eksport perlu dikaji semula – Zuraida

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan mengkaji semula dasar eksport kek isirong sawit (PKC) supaya ia dapat digunakan untuk makanan haiwan tempatan.

Pada masa ini, PKC dieksport untuk industri lembu Eropah.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan lain untuk mengkaji semula dasar eksport PKC yang akan lebih memihak kepada ayam pedaging tempatan.

”Kementerian akan bekerjasama dengan agensi berkaitan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan kerajaan negeri untuk melihat dengan segera bagaimana ketersediaan sisa isirong sawit sebagai makanan haiwan untuk industri ayam Malaysia dapat dilakukan dengan segera.

”Selain itu, KPPK juga akan bekerjasama rapat dengan institut penyelidikan seperti universiti awam untuk melihat cara meningkatkan kualiti PKC bagi menjadikannya pilihan utama penternak ayam. Ini termasuk kajian untuk mengurangkan kandungan serat dalam PKC,” katanya dalam kenyataan di sini.

Katanya, usaha mempromosikan penggunaan sisa isirong sawit sebagai makanan haiwan akan ditingkatkan oleh KPPK bagi memastikan Malaysia mempunyai bekalan ayam yang mampan dalam jangka panjang.

“Antara punca harga ayam naik adalah disebabkan harga makanan ayam yang tinggi selepas melonjak daripada RM500 setiap tan kepada RM1,900.

“Disebabkan ini, ayam kurang diberi makan, menyebabkan ternakan membesar dengan lebih perlahan daripada biasa, dan seterusnya memberi kesan terhadap bekalan ayam,” tambah beliau.

Tambah Zuraida, buat masa ini Malaysia mengimport sebahagian besar makanan ayam, dan kebanyakannya diperbuat daripada bijirin seperti jagung dan kacang soya.

Sumber ini, katanya, menghadapi kekurangan di seluruh dunia akibat perang di Ukraine dan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Zuraida berkata, ladang kelapa sawit Malaysia menghasilkan bekalan sisa isirong sawit yang banyak, malah kajian menunjukkan memberi makan PKC yang ditapai dan lemak pemakanan yang tinggi kepada ayam pedaging, boleh menggantikan makanan import yang digunakan oleh hampir semua ladang ayam komersial hari ini. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kalau ayam berlepas buah sawit pun dia makan . Ayam makan buah sawit gemuk dan sihat

Comments are closed.