KUALA LUMPUR – Seorang wanita pesakit kanser rahim kronik ditemui mati di kediamannya di Kampung Nakhoda, Jalan Nakhoda Kiri, Batu Caves dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, mayat wanita yang dikenal pasti sebagai warga asing itu ditemui oleh rakannya yang datang melawat mangsa.
Katanya, rakan si mati membuat laporan polis pukul 5.20 petang semalam.
“Rakannya telah pergi ke rumah sewa rakannya itu untuk berjumpa dengan mangsa setelah beberapa kali gagal menghubunginya.
“Apabila sampai di hadapan rumah, rakannya melihat melalui bahagian tingkap dan mendapati mangsa terbaring di bahagian ruang tamu rumah.
“Siasatan di lokasi kejadian mendapati rumah tersebut dalam keadaan berkunci sebelum pihak bomba bergegas ke lokasi dan memecahkan pintu sebelum mengeluarkan mayat mangsa,” katanya dalam kenyataan lewat malam tadi.
Zainal menambah, pasukan perubatan dari Hospital Selayang telah mengesahkan mangsa telah menghidap penyakit kanser sejak tiga tahun lalu.
“Barang peribadi mangsa seperti dompet dan telefon bimbit masih berada di dalam simpanan serta tiada sebarang kesan umpil ditemui.
“Siasatan lanjut juga mendapati tiada unsur dan perbuatan jenayah berlaku,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Selayang untuk bedah siasat manakala kematian tersebut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh berhubung dengan Sarjan Rafidah Abdul Aziz di talian 019-3509963 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak d italian 03-61262222.- MalaysiaGazette