GEORGE TOWN – Tiga anggota sukarela nyaris maut dihempap sebatang pokok jenis Khaya Senegalensis dalam kejadian ribut dan hujan lebat di Balai Sementara Pasukan Bomba Sukarela Paya Terubong di Lintang Kampung Melayu di sini, hari ini.
Kejadian jam 4 pagi itu bagaimanapun tidak melibatkan kemalangan jiwa.
Neoh Boon Siang, 37, berkata, insiden berlaku ketika dia bersama dua lagi anggota bomba sukarela sedang tidur di sebuah bilik dalam premis tersebut.
“Saya terjaga kerana pada masa itu angin sangat kuat seperti bergoncang namun tiba-tiba dikejutkan dengan sebuah pokok menghempap bahagian bumbung berhampiran bilik tidur.
“Mujur pokok itu jatuh selangkah dari tempat tidur kami, kalau tidak tak tahu apa nasib saya dan dua rakan lain,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di lokasi kejadian hari ini.
Tambahnya, kejadian itu turut menyebabkan sebuah pacuan empat roda yang digunakan untuk operasi rosak dihempap pokok warisan yang dipercayai berusia 100 tahun.
Selain itu, lima buah motosikal milik anggota bomba sukarela turut rosak akibat insiden sama.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong, Yusri Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.02 pagi sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi.
Jelasnya, sebaik tiba pihaknya mendapati tiga anggota sukarela dilaporkan berada di lokasi namun berjaya menyelamatkan diri.
“Kita dapati pokok Khaya Senegalensis sebesar dua pemeluk tumbang akibat angin serta hujan lebat lalu menghempap bahagian premis bomba sukarela tersebut.
“Hampir 50 peratus premis itu rosak dihempap pokok tersebut selain kenderaan serta peralatan bomba turut rosak.
“Operasi mengalihkan pokok sedang dijalankan dengan bantuan pihak berkuasa tempatan dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
MalaysiaGazette difahamkan pokok tersebut merupakan pokok warisan yang dipindah dari lokasi asal sebelum ditanam di tanah lapang Jalan Thean Teik itu pada tahun 2019.
Berdasarkan maklumat di laman perhutanan negara, kayu pokok Khaya ini boleh digunakan untuk pertukangan kayu, tanggam,pembuatan perabot, kerja kabinet, pembinaan kapal dan dalam pengeluaran venier hiasan. – MalaysiaGazette