Home Politik Zahid kemuka lima anjakan untuk kembalikan Malaysia yang asal

Zahid kemuka lima anjakan untuk kembalikan Malaysia yang asal

Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melambai ke arah ahli BN yang hadir pada Konvensyen Barisan Nasional 2022 dan Sambutan Ulang Tahun Barisan Nasional ke-48 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 01 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengemukakan lima langkah ke arah anjakan untuk mengembalikan Malaysia yang asal.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, dengan anjakan tersebut tidak bermakna BN untuk mewajahkan semula parti itu, sebaliknya kekal berpaksikan kepada Perlembangaan Persekutuan, prinsip kesederhanaan, toleransi dan integrasi.

“Untuk bergerak ke hadapan dalam usaha mengembalikan Malaysia yang asal, BN perlu melakukan anjakan paradigma dengan proses pengislahan dalaman dan membuat tawaran yang dapat meneruskan keterujaan rakyat untuk kembali memberikan sokongan.

“Berikut itu, lima langkah ke arah anjakan itu dikemukakan, pertama, di peringkat dalaman, BN mesti bersedia untuk keluar daripada kerangka lama dari segi formula pengagihan kerusi dalam menghadapi PRU ke-15.

“Kedua, menampilkan lebih ramai muka baharu sebagai wajah hadapan BN. Kita telah membuktikan 87 peratus muka baharu di Melaka dan 79 peratus di Johor telah menangkap imaginasi pengundi untuk kembali bersama BN.

“Ketiga, BN mesti bersifat inklusif dan lebih terbuka untuk menjalinkan kerjasama mahupun menerima sesiapa sahaja, selagi mana mereka menerima prinsip BN yang berteraskan kesederhanaan, berpaksikan kepada keikhlasan untuk membela rakyat dan kesetiaan kepada segala pasak negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Ucapan Dasarnya sempena Konvensyen BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) di sini, hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, dua lagi anjakan itu ialah menawarkan agenda pembaharuan dan pembaikan bagi memperkasakan lagi tata kelola, tadbir urus dan ketelusan dalam pentadbiran.

Katanya, kelima ialah mengembalikan ekonomi Malaysia ke landasan asal untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi dengan matlamat menjadikan negara sebagai destinasi utama pelaburan rantau Asia Tenggara.

Kata beliau, BN memiliki pengalaman dan kepakaran untuk digembleng bagi menyusun balik usaha memacu ekonomi dan membantu rakyat yang kini sedang berhadapan dengan kos sara hidup tinggi dan harga barangan keperluan meningkat amat mendadak.

“Ini termasuk pengalaman kita menguruskan ekonomi dalam pelbagai zaman kegawatan dan krisis ekonomi yang hebat.

Jelas beliau, dengan tekad itu, BN perlu membuat persiapan bagi menghadapi PRU yang akan datang, walaupun ada yang mahukan kepastian bilakah akan diadakan.

“Biarlah saya dan Perdana Menteri berbincang bagi menentukan jeda waktu yang terbaik untuk kita menghadapi PRU ke-15.

“PRU ke-14 sudah lebih empat tahun berlalu. Ertinya PRU ke-15  boleh berlangsung pada bila-bila masa. BN tidak boleh leka. Segala persiapan menghadapi PRU seharusnya sudah mencapai tahap tertinggi.

“Saya benar-benar berharap, semua komponen BN harus lebih banyak terlibat dalam kerja-kerja teknikal pilihan raya. Kita perlu bekerja dan bersedia untuk menang,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, sebagai pemimpin dan anggota parti, tugas serta tanggungjawab mereka adalah untuk membuat persiapan, perkemaskan jentera di peringkat akar umbi, jalankan usaha mengukur tahap sokongan rakyat di kawasan Parlimen, DUN dan PDM masing-masing.

Manakala di peringkat kepimpinan, selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU), bermula pertengahan Jun ini, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengetuai pasukan kerja pusat untuk turun ke negeri bagi meninjau persiapan jentera.

“Saya mahu Jawatankuasa Pilihan Raya Barisan Nasional di setiap peringkat diaktifkan segera.

“Tanamkan dalam pemikiran dan tindakan kita mulai sekarang, yang bertanding adalah BN, bukan UMNO, bukan MCA, bukan MIC, dan PBRS, waima jika ada peluang untuk parti bergabung, mereka juga membawa wajah dan wadah BN.

“Gerakan kita adalah gerakan biru. Lambang kita adalah satu, dacing yang menjadi lambang neraca kesetiaan dan kestabilan, lambang kemakmuran dan kesejahteraan,” katanya.

Beliau mengajak ahli BN bulatkan tekad, tetapkan pendirian bahawa yang paling utama adalah parti dan yang harus dimenangkan adalah BN, manakala yang akan menjadi sandaran rakyat adalah BN. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.