KANGAR – Pemergian legenda bola sepak negara era 70-an Syed Ahmad Syed Abu Bakar yang menghembuskan nafas terakhir tengah hari ini akibat serangan jantung menjadi berita duka buat arena sukan negara.
Anak kepada penyerang berbisa negara itu, Syed Abu Bakar Syed Ahmad, 40, berkata bapanya menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar di sini selepas keadaan kesihatannya semakin merosot.
“Allahyarham berusia 76 tahun dimasukkan ke wad hospital berkenaan dua hari lepas dan kesihatannya sudah merosot sejak sebulan lepas,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Syed Abu Bakar berkata, jenazah bapanya dikebumikan di Makam Diraja Lama Arau hari ini.
Syed Ahmad meninggalkan seorang balu, Samihah Ghazali, 75, bersama lima anak.
Sementara itu, Persatuan Bola Sepak (FAM) menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin bersama ahli jawatankuasa eksekutif FAM pernah menyantuni Syed Ahmad di kediamannya di Perlis pada Februari lepas.
Syed Ahmad dilahirkan di Pontian, Johor, pada 20 April 1946 dikenang sebagai wira yang membawa pasukan negara ke Sukan Olimpik Munich 1972 tetapi tidak tersenarai ke temasya berkenaan.
Menjaringkan lima gol ketika membantu anak buah Dave McLaren dan Jalil Che Din menewaskan Korea Selatan, Jepun, Filipina dan Taiwan pada kelayakan di Seoul pada 1971, Syed Ahmad malangnya digugurkan daripada skuad ke Munich.
Memulakan kerjayanya dalam dunia bola sepak dengan mewakili Johor dalam pertandingan Combined School di peringkat sekolah rendah dan seterusnya ke peringkat Piala Burnley pada 1961, Syed Ahmad menyarung jersi negara dari 1966 hingga 1974 dengan membantu skuad kebangsaan menjulang gelaran Pestabola Merdeka 1966, 1968 dan 1974.
Sekalipun memulakan kerjaya bersama negeri kelahirannya, Syed Ahmad mencipta nama dan meninggalkan legasi bersama tiga pasukan utara iaitu Pulau Pinang (1965-1972), Perak (1972-1980) dan Kedah (1980-1981).
Kejayaan Syed Ahmad dalam prakelayakan Olimpik 1971 membawa seribu kenangan apabila pada minit ke-54 hasil hantaran tepat Looi Loon Teik mengaibkan Korea Selatan, dua hari selepas meledak hatrik membenam pemenang pingat gangsa Olimpik 1968, Jepun 3-0.
Seterusnya, di Sukan Asia Tehran 1974, gabungan Syed Ahmad, Mokhtar Dahari dan Isa Bakar membentuk jentera penggempur Malaysia berbisa dengan mengumpul 20 gol sehingga mengutip gangsa menewaskan Korea Utara 2-1.
Tersepit antara dua era – zaman Abdul Ghani Minhat selaku Raja Bola lewat 50-an hingga 60-an dan zaman Mokhtar Dahari bergelar Supermokh pada 70-an, beliau berbangga dengan catatan gol dalam final Piala Malaysia pada 1968 dan 1969 bersama Pulau Pinang dan Perak pada 1974 tanpa mengecap kejayaan menjulang piala itu. – Bernama