Home Nasional Pengawal keselamatan, penganggur dipenjara sebabkan kematian suri rumah

Pengawal keselamatan, penganggur dipenjara sebabkan kematian suri rumah

Gari nasyid singer drug Youtuber murder Penang
Gambar hiasan

MUAR – Seorang pengawal keselamatan dan penganggur masing-masing dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan 10 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang suri rumah, empat tahun lepas.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun terhadap Mohammad Zahrynnazha Abdullah, 26, dan penjara 10 tahun ke atas Mohamad Danish Izzuddin Ab Razak, 22, setelah mereka mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan.

Mahkamah memerintahkan hukuman mereka bermula dari tarikh tangkap pada 20 Februari 2018.

Mohammad Zahrynnazha dan Mohamad Danish Izzuddin dituduh bersama-sama menyebabkan kematian Tan Chi Ann, 47, di Taman Sutera, Yong Peng, Batu Pahat, antara 12.35 tengah malam dan 1.21 pagi, 13 Februari 2018.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, Mohammad Zahrynnazha yang membonceng motosikal yang ditunggangi Mohamad Danish Izzuddin berlegar-legar di lokasi kejadian dan merancang untuk meragut.

Apabila Tan berada di lokasi kejadian, Mohamad Danish Izzuddin bertindak menendang motosikal yang dinaiki mangsa sehingga wanita itu terjatuh sebelum Mohammad Zahrynnazha pergi ke arahnya sambil mengacukan pisau dan meminta duit daripadanya.

Akibat mangsa enggan memberikan duit dan beg miliknya, berlaku pergelutan sehingga Mohammad Zahrynnazha telah menikam mangsa menyebabkannya rebah sebelum bertindak mengambil beg tangan yang berada pada mangsa sebelum melarikan diri bersama Mohamad Danish Izzuddin.

Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan pilihan itu selepas kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap kesalahan membunuh wanita itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azfar Mahmod manakala peguam Mohd Radzi Yatiman mewakili Mohammad Zahrynnazha dan peguam Rosli Kamaruddin mewakili Mohamad Danish Izzuddin. – Bernama