KUALA LUMPUR – Semua akujanji pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor perlu ditunaikan jika Barisan Nasional mahu memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15
Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, kemenangan di Melaka dan Johor adalah kerana penduduknya mahukan pentadbiran yang stabil dan pengundi di kedua-dua negeri itu tidak mengundi atas dasar jasa-jasa lampau.
“Dalam mendepani cabaran PRU ke-15, saya menyarankan agar kita ingat kembali kepada janji kita iaitu janji kestabilan yang merupakan akujanji kita kepada rakyat di PRN Melaka dan Johor,” katanya ketika berucap pada Majlis Ulang Tahun Sambutan Barisan Nasional (BN) Ke-48 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Menurut Vigneswaran, parti komponen BN perlu bergerak sebagai satu pasukan dan berganding bahu di belakang kepemimpinan untuk melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.
Tambah beliau, kenyataan-kenyataan daripada pimpinan Pusat dan Negeri tidak boleh menampakkan percanggahan yang mana ia akan disalah anggap atau diterjemahkan oleh umum sebagai keretakan dalam kepemimpinan.
“Pada masa yang sama, kita juga harus memastikan masalah-masalah dalaman diselesaikan dengan segera supaya tidak menjadi beban dalam menghadapi PRU yang paling penting dalam sejarah BN,” ujarnya.
Kata Vigneswaran, realiti politik Malaysia masih lagi berasaskan kaum dan agama dan ia terbukti pada pemilihan pada parti yang mendakwa parti pelbagai kaum namun keputusan pemilihan menunjukkan sebaliknya.
Tambah beliau, apa yang penting ialah keseimbangan perlu dicari.
“Setiap kita harus sedar, negara ini dibina atas dasar berkompromi demi kepentingan bersama. Mengutamakan kepentingan bersama kita, adalah sumber kekuatan kita,” katanya. – MalaysiaGazette