MANILA – Tentera Filipina membunuh dua pemimpin perikatan militan dalam operasi di selatan Marawi City hari ini, menurut menteri pertahanan negara itu.
Isnilon Hapilon yang digelar “Emir” di Asia Tenggara dan Omarkhayam Maute terbunuh dalam operasi,
Kedua-duanya dikesan berdasarkan maklumat daripada tebusan yang diselamatkan baru-baru ini.
“Mengikut pelan operasi yang dilakukan pagi ini … mereka terbunuh. Kami telah mendapat maklumat daripada tebusan. Dia telah mengesahkan kehadiran Isnilon dan Maute di bangunan tertentu. Bangunan itulah yang diserbu awal pagi tadi,” kata Setiausaha Pertahanan, Delfin Lorenzana.
Menurut Lorenzana, kematian kedua-dua militan itu merupakan kemenangan bagi tentera Filipina yang sebelum ini dikritik teruk kerana ambil masa untuk menawan semula Marawi selepas dikepung oleh pemberontak pada 23 Mei lalu.
Marawi adalah satu-satunya bandar penduduk yang majoritinya Islam di Filipina.
Lorenzana menjangka pertempuran di Marawi akan berakhir dengan segera, sambil menambah seramai 17 tebusan telah diselamatkan pada hari ini.
“Insiden di Marawi hampir ke peringkat akhir. Kami boleh mengumumkan penamatan permusuhan dalam beberapa hari ini,” katanya. – MalaysiaGazette