KUALA LUMPUR – Kehadiran semua lapisan masyarakat ke Restoran Gabungan NGO 1Malaysia di Jalan Pahang, di sini untuk menikmati hidangan makanan tengahari secara percuma bukti jelas bahawa pemimpin gabungan itu tidak cenderung kepada perkauman.
Pengerusinya, Datuk Seri Jamal Md Yunos menegaskan, pemberian makanan percuma setiap Isnin hingga Jumaat itu tidak mempunyai hubung kait dengan fahaman politik, malah pembangkang juga dijemput hadir.
“Ini adalah satu konsep untuk mengalu-alukan lapisan masyarakat tidak kira orang Melayu, Cina dan India, asalkan rakyat Malaysia.
“Ini adalah konsep muhibbah, kalau nak kata perkauman tidak berasas, kehadiran orang ramai hari ini sebagai bukti yang kami buat setiap hari ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita semasa pembukaan hari pertama Restoran Gabungan NGO 1Malaysia yang menawarkan makanan tengahari secara percuma di Jalan Pahang, di sini, hari ini.
Restoran berkenaan yang menyediakan makanan secara percuma untuk 1,000 orang setiap Isnin hingga Jumaat itu menyajikan tujuh jenis hidangan kampung dan berasaskan ikan harga mampu dan ayam.
Antara menu yang menjadi juadah hari pertama warga kota hari ini ialah nasi putih, nasi minyak, ayam masak merah, ikan goreng pedas, ikan goreng, jelata, kubis masak lemak, kari ikan, jagung (pencuci mulut), air sirap, teh o dan air mineral.
Jamal berkata, menu hidangan rakyat itu bakal berubah-ubah mengikut permintaan ramai selagi mana ia tidak melebihi RM5.00 setiap orang setiap hari yang diperuntukkan pihaknya.
“Saya anggarkan kos tetamu yang hadir RM5.00 seorang makan dan minum, kami masak untuk 1,000 orang jadi memerlukan RM5,000 sehari.
“Kita ada tujuh menu hari ini dan menu akan bertukar setiap dua hingga tiga hari atau mengikut minggu,” katanya.
Sementara, menurut seorang pengunjung, Lim Ka Man, 64, dari Johor Bharu berkata, dia dimaklumkan tentang program makanan percuma itu di Facebook dan terus datang bersama isterinya.
Katanya, pemberian makanan tengahari secara percuma kepada semua kaum dan rakyat Malaysia adalah satu amalan dan perbuatan yang baik dan dia sangat mengalu-alukan langkah tersebut.
“Kalau tuan rumah mengalu-alukan semua bangsa dan semua rakyat, memang kita boleh datang.
“Saya bertuah sebab datang peluang yang baik hari ini, sebab saya tengok ini hari pertama (buka) makanan tengahari percuma,” katanya.
Bagi seorang lagi pengunjung, Mohamad Nor Ramli, 50, dari Gombak pula berkata, walaupun makanan itu diberikan secara percuma, namun hidanganya agak istimewa dan sedap.
“Alhamdulillah saya tengok kari pun sedap, hari ini saya tengok ada jamuan, masakan pun okay, bukan senang orang nak bagi sumbangan ketika zaman ekonomi tidak menentu.
“Ada orang beri sumbangan ikhlas, saya ingat ia terbaik, semoga orang yang bagi sumbangan itu murah rezeki,” katanya. – MalaysiaGazette