KUALA LUMPUR – Saman yang difailkan oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sapura Energy Berhad (SEB), Tan Sri Shahril Shamsuddin dibuat sebelum Rafizi Ramli menang jawatan Timbalan Presiden PKR.
Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil berkata, writ saman itu diterima Rafizi pada 11 Mei lalu sedangkan keputusan tidak rasmi pemilihan PKR 2022 dibuat Isnin lalu dan secara rasmi pada 26 Jun ini.
“Rafizi, dia (Shahril) saman kamu sebelum kamu jadi Timbalan Presiden PKR lagi, writ saman tersebut kamu terima pada 11 Mei 2022 dan kamu kena saman lagi sebab kamu didakwa memfitnah dan memburuk-burukkan orang lagi dengan maklumat yang tidak betul bila kamu kembali aktif berpolitik. Ini sudah jadi seperti tabiat kamu.
“Dan, semalam kamu berlagak lagi dan kamu kata kamu menang semua kes saman kamu sebelum ini tetapi ini pun kamu tipu sebab sebelum ini kamu pernah minta maaf kepada Datuk (Seri) Rahman Dahlan dan di arah oleh mahkamah untuk bayar pampasan RM20,000 kepada dia sebab kamu memfitnah.
“Jika kamu masih ingin teruskan politik fitnah, politik negatif, politik jaga tepi kain orang, politik buka aib atau politik memburuk-burukkan orang lain di Malaysia ini, terpulanglah kepada kamu,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.
Beliau mengulas kenyataan bekas Ahli Parlimen Pandan itu yang menyifatkan Shahril telah menempah tiket nombor satu untuk menyamannya di mahkamah sebaik beliau aktif semula dalam politik.
Rafizi yang memenangi jawatan kedua tertinggi dalam PKR baru-baru ini akan mempertahankan kenyataan yang dibuatnya berkaitan SEB.
Menurut Isham, beliau dan rakan dalam Barisan Nasional (BN) akan melawan politik negatif pemimpin PKR itu dan akan membawa politik baharu yang positif dan fokus khidmat kepada rakyat untuk menyelesaikan masalah mereka yang kritikal kini. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Bekas CEO Sapura tempah tiket nombor satu mahu jumpa saya di mahkamah – Rafizi