KUALA LUMPUR – Dua bidang dikenal pasti mampu menjadi tarikan utama kepada pelajar antarabangsa untuk menyambung pengajian ke Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, edutourism atau pelancongan berasaskan pendidikan dan bidang berteraskan alam sekitar mempunyai potensi besar untuk menjadi bidang utama ditawarkan.
Katanya, beliau berharap universiti di Malaysia dapat memberi fokus kepada dua bidang itu sebagai daya tarikan utama untuk menarik minat pelajar antarabangsa.
“Universiti boleh menawarkannya sama ada dalam bentuk program penuh, ‘micro-credentials’ atau sekadar kursus pendek dalam pakej ketika program sangkutan mahu pun mobiliti pelajar.
“Menerusi penawaran ini, kita percaya akan mampu menarik minat pelajar antarabangsa untuk datang ke Malaysia hasil daripada keunikan program yang ditawarkan oleh negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas sesi pertemuan delegasi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan pelajar dan pensyarah Malaysia di University of Oxford, di London, baru-baru ini.
Delegasi itu diketuai Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Dr Mohd Zabri Yusoff dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Husaini Omar.
Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, universiti perlu mempunyai tujahan tertentu yang unik dalam penawaran program masing-masing bagi menarik minat pelajar untuk menyambung pengajian di Malaysia.
Katanya, penawaran program seperti program perubatan dan kejuruteraan sudah menjadi satu kebiasaan kerana rata-sata universiti di dunia ini mempunyai bidang yang sama.
“Edutourism dan bidang berkaitan alam sekitar seperti perhutanan serta marin dilihat mampu menjadi daya penarik untuk belajar di Malaysia.
“Penawaran program unik ini akan dapat membantu merealisasikan sasaran seramai 250,000 pelajar antarabangsa mengikuti pengajian di negara kita menjelang tahun 2025,” katanya. – MalaysiaGazette