KUALA LUMPUR – Di sebalik prestasi terumbang-ambing Sarawak United FC di pentas Liga Super, prestasi yang dipamerkan pemain sayap kanan, Nur Shamie Iszuan dilihat agak cemerlangĀ musim ini.
Menjaringkan dua gol serta melakukan dua bantuan jaringan termasuk di pentas Piala FA, Nur Shamie jelas menjadi antara nadi kekuatan serangan Sarawak United FC.
Bagaimanapun, istilah sudah berpuas hati tidak pernah berada dalam kamus pemain berusia 27 tahun berkenaan sebaliknya merasakan masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki jika ingin terus meningkat.
“Saya gembira kerana diturunkan dalam semua perlawanan untuk pasukan musim ini cuma belum berpuas hati secara keseluruhan prestasi saya kerana bukan semua perlawanan saya bermain secara konsisten.
“Aspek paling dibimbangkan adalah sentuhan penyudah kerana banyak juga peluang yang dilepaskan malah semasa satu lawan satu dengan penjaga gol.
“Perkara ini sentiasa ditegur oleh jurulatih, B.Satianathan malah semasa E. Elavarasan juga,dia mahu saya cuba perbaiki kelemahan itu serta lebih tenang semasa mendapat peluang.
“Cuma satu perkara sangat gembirakan saya untuk musim ini ialah apabila ketahui nama saya ada dalam senarai menunggu skuad kebangsaan, ini satu pengiktirafan terhadap apa yang dipamerkan bersama Sarawak United, musim ini.
“Agak lama juga saya tidak tersenarai dalam skuad kebangsaan dan situasi ini menyuntik kembali motivasi untuk berikan yang lebih baik untuk diri sendiri dan juga Sarawak selepas ini, ” katanya.
Nur Shamie sebelum ini sering kali menjadi tonggak utama bersama Skuad Bawah 22 tahun negara pada tahun 2017 dan pernah bermain untuk Negeri Sembilan dan PJ Rangers selain Sarawak dalam karier.
Sementara itu, Nur Shamie mengharapkan tempoh rehat yang panjang ini boleh membuka ruang buat Sarawak United untuk bangkit dari zon penyingkiran Liga Super.
Dia akui kualiti saingan Liga Super pada musim ini sangat mencabar dan tiap perlawanan adalah sukar kepada Sarawak United bagi mendapatkan kemenangan.
“Kami baru meraih dua kemenangan dari sembilan perlawanan, kedudukan itu belum selamat dan perlu pamerkan peningkatan di pusingan kedua Liga Super.
“Harapan saya Sarawak boleh bangkit dengan meraih seberapa banyak kemenangan bagi memastikan kami boleh kekal di Liga Super pada musim depan,” katanya.
Sarawak United menduduki tangga ke-10 Liga Super dengan meraih tujuh mata namun kedudukan itu dijangka seketika buat mereka memandangkan Terengganu yang berada di tangga ke-11 baru turun beraksi untuk empat perlawanan. – MalaysiaGazette