KUALA LUMPUR – Mohammad Farhan Mokhali dilantik sebagai Ketua Putera UMNO yang pertama.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dalam media sosialnya.
Keanggotaan Putera UMNO terdiri daripada mereka yang berusia 18 hingga 25 tahun dan merupakan cabang kepada Pemuda UMNO.
“Tahniah saudara Farhan yang saya lantik sebagai Ketua Putera UMNO beserta ahli-ahli jawatankuasa Putera UMNO peringkat kebangsaan.
“Mereka ini sudah melalui proses latihan dan pemilihan berpusat pada penghujung Februari lalu.
“Malam tadi selepas halaqah ilmu di rumah saya umumkan nama-nama yang terpilih untuk menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat Putera UMNO Malaysia. Selebihnya akan diserapkan di di peringkat jawatankuasa negeri-negeri,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, kesemua ahli daripada pelbagai latar belakang unik termasuk hafiz al-Quran, instafamous, pemimpin mahasiswa, bekas pelajar terbaik STPM Malaysia, juara pidato, ahli korporat muda, usahawan muda dan lain-lain.
“Mereka saya berikan amanah awal untuk segera turun ke negeri-negeri selain membentuk organisasi di peringkat negeri juga anjurkan pelbagai program mendekati anak muda.
“Termasuklah sesi-sesi townhall untuk mengutip idea dan aspirasi mereka bagi dimasukkan dalam manifesto BN untuk pilihan raya umum akan datang,” jelas beliau.
Kesemua mereka, menurut Asyraf Wajdi, akan mendapat bimbing secara peribadi dan mereka juga diwajibkan untuk hadir halaqah ilmu di rumahnya secara berkala.
Katanya, sudah menjadi antara agenda selepas menjadi Ketua Pemuda UMNO untuk membina dan membangunkan generasi pewaris parti yang beridealisme dan mempunyai roh perjuangan berpaksikan prinsip Islam sejati.
“Moga Allah berkati dan rahmati usaha membina generasi pewaris perjuangan masa depan UMNO demi agama, bangsa dan tanah air tercinta,” katanya.
Kursus Kepimpinan Putera UMNO Malaysia yang mengumpulkan pemimpin-pemimpin muda dari seluruh pelusuk negara di Institut Latihan Pemerkasaan UMNO (ILMU), Janda Baik, Pahang berlangsung pada 20 Februari lalu.
Penubuhan Putera UMNO bermatlamat untuk memberi ruang dan peluang seluasnya kepada anak muda untuk bersama dalam membina generasi negara ini.- MalaysiaGazette