KUALA LUMPUR – Syarikat reka bentuk dalaman, IDW Design & Build Sdn. Bhd. (IDW) kini kembali rancak beroperasi apabila menyasarkan pendapatannya mampu mencapai RM30 juta pada tahun ini.
Pengasas IDW, IDr Lokman Hakim Ahmad Subki berkata, sasaran itu berdasarkan keyakinan jumlah projek yang menggalakakan diterima ketika ini susulan pembukaan semula ekonomi negara sejak awal tahun tahun ini.
“Sebelum ini banyak projek pelanggan kami tidak dapat dibuat Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakanĀ namun bersyukur kerana kebanyakan pelanggan tidak pernah meminta kami memulangkan wang semula yang telah dibayar.
“Mereka memahami situasi tersebut kerana bukan kami yang melengah-lengahkan tempahan yang dibuat mereka, tetapi keadaan pada ketika itu menyebabkan kami tidak dapat memulakan kerja,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian sempena majlis perasmian Wisma IDW di Setia Alam di sini baru-baru ini.
Lokman Hakim menambah, hampir 90 peratus daripada tempahan yang diterima adalah daripada pelanggan individu untuk pelbagai jenis projek rekaan kediaman, pejabat dan resort.
Mengulas mengenai wisma yang bernilai kira-kira RM5 juta itu, beliau berkata, ia telah dibeli pada tahun 2020 bagi menampung keperluan pekerja dengan menawarkan suasana pejabat yang lebih kondusif, tempahan projek yang semakin bertambah.
Selain membina jenama di pasaran yang berpotensi selain memberi ruang kepada pelanggan untuk melihat seni reka dalaman kediaman atau pejabat serta membolehkan pelanggan berbincang dengan lebih baik dengan kumpulan pemasarannya.
Selain itu, untuk perancangan masa depan, Lokman Hakim memaklumkan bahawa, pihaknya bercadang untuk membina sebuah kilang untuk melengkapkan serta memudahkan pengoperasian dengan menawarkan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan,
Buat masa ini, syarikat sedang mengenal pasti beberapa lokasi yang sesuai bagi pembinaan kilang tersebut.
“Jika tidak bina kilang, mungkin kita akan cuba beli saham syarikat yang telah lama menjalankan perniagaan tersebut,” ujarnya. – MallaysiaGazette