KUALA LUMPUR – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mentadbir sekarang bukan didukung sepenuhnya oleh Barisan Nasional (BN).
Sebab itu, tegas Datuk Seri Najib Razak, BN menerusi konvensyennya semalam menekannya perlu dan pentingnya parti itu mengambil alih semula pentadbiran kerajaan menerusi PRU-15 tanpa ada gabungan parti lain selain komponennya.
Justeru, menurut mantan Perdana Menteri itu, jika ada dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH) menganggap kerajaan sekarang di bawah pemerintahn BN, ia tidak tepat sekali gus memperlihatkan kejahilannya dengan politik.
Beliau turut menjelaskan, portfolio berhubung dasar makanan, komoditi, ekonomi dan kewangan semuanya dipegang oleh menteri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Semuanya daripada Bersatu bukan dari BN,” katanya menempelak Twitter Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming yang membuat ciapan, “Sekarang bukan BN yang tadbir ke? Rupanya PM Ismail Sabri Yaakob dari parti DAP?”
Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan itu dikatakan membuat sindiran itu terhadap kenyataan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan pada konvensyen semalam bahawa BN perlu mengambil alih semula pentadbiran kerajaan Persekutuan pada PRU- 15 ini.
Mohamad atau Tok Mat dilaporkan berkata, misi utama BN ketika ini adalah untuk memenangi PRU ke-15 dengan majoriti menyakinkan supaya dapat menyelamatkan Malaysia.
Menurut Timbalan Presiden UMNO itu, ekonomi negara perlu dipulihkan kerana ketika ini rakyat berhadapan dengan harga barang yang melambung sehingga di luar kemampuan.
Dalam pada itu, Najib ‘sekolahkan’ Kor Ming dengan membariskan portfolio yang dipegang oleh menteri daripada PPBM seperti Menteri Kanan Ekonomi merangkap Menteri MITI, Menteri Kewangan (lantikan PPBM), Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (PPBM, tapi baru keluar parti).
“Begitu juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Makanan dari Bersatu termasuk Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPM) (kononnya nak pulihkan ekonomi) juga dari Bersatu.
“Malah semua yang berhubung dengan dasar makanan, komoditi, ekonomi dan kewangan negara bukan daripada BN, apatah lagi, nak lantik orang baharu untuk menggantikan (Datuk) Zuraida (Kamaruddin) pun kena sounding dari Bersatu.
“Nak desak KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) kena tunggu sehingga enam bulan sebelum mereka mengalah. Ini nak selamatkan Sapura pun entah mereka buat apa,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.
Kata Najib, paling dashyat ialah Pengerusi MPN merangkap Presiden Bersatu (Tan Sri Muhyiddin Yassin) itu yang kononnya senyap-senyap bersuhabat dengan musuh untuk kumpul sokongan 119 ahli Parlimen bagi tumbangkan Perdana Menteri.
“Jadi, adakah mereka benar-benar mahukan Perdana Menteri dari BN berjaya sekiranya niat dan matlamat semasa dalam kerajaan adalah untuk tumbangkan dia?
“Faham tak, Kor Ming?” soal Najib dengan sindiran. – MalaysiaGazette