Home Politik Isu Noh: Tak ada sampai kena pantau – Azhari Shaari

Isu Noh: Tak ada sampai kena pantau – Azhari Shaari

Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari. Foto: NIZAM ZAIN

KUALA LUMPUR – Hubungan dalam kalangan pucuk pimpinan Badan Perhubungan UMNO Selangor masih harmoni, jauh sekali berantakan hanya kerana parti itu masih bekerjasama dengan Pas dalam Muafakat Nasional (MN).

Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berkata, bukan sahaja hubungan baik masih terjalin bahkan UMNO Bahagian Shah Alam sendiri melakukan aktiviti secara bersama sehingga ke hari ini.

“Tak ada sampai nak kena pantau, saya rasa tiadalah, ini banyak cerita-cerita orang luar yang nak memecahbelahkan UMNO Selangor.

“Tiada pula (pantau dan kecil hati), kita jalan macam biasa sahaja, tapi Alhamdulillah kita (hubungan) masih utuh dengan Pengerusi dan Timbalan kita.

“Perpaduan UMNO Selangor masih kukuh sehingga ke hari ini,” katanya kepada MalaysiaGazette, baru-baru ini.

Beliau mengulas laporan sebuah portal 25 Mei lalu yang mendakwa tingkah laku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar di Selangor akhir-akhir ini kurang disenangi malah menyebabkan sesetengah pemimpin tertinggi parti itu berkecil hati.

Menurut laporan itu, beberapa sumber dalaman UMNO terdekat dengan kepemimpinan negeri dan pusat mendakwa, Noh sedang dipantau kerana tidak disenangi selepas mengadakan perbincangan dengan parti lain di luar Barisan Nasional (BN).

Lapor portal itu, menurut sumber yang dekat dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Noh selaku Ahli Parlimen Tanjung Karang bertindak mengikut pertimbangan sendiri.

Dalam pada itu, Azhari menyerahkan masa depan UMNO dan Pas dalam MN kepada pucuk pimpinan parti walaupun hubungan UMNO Selangor masih baik dengan Pas.

“Setakat ini kita di peringkat Shah Alam hubungan kita masih baik, kukuh, majlis dia pun datang, majlis kami pun datang. Jadi masa depan kami ini kita serahkan kepada pucuk pimpinan parti.

“Seperti mana Pengerusi Perhubungan telah katakan akhirnya nanti tertakluk kepada keputusan di pucuk pimpinan.

“Sehingga ke hari ini, hubungan kami dengan pihak Pas di bawah MN masih okay lagi, kukuh malah kami masih bersama melaksanakan apa juga program,” katanya. – MalaysiaGazette