KUANTAN – Sebanyak 100 tiket bas percuma ditawarkan kepada pengguna terawal untuk menaiki bas dari Kuantan ke Awana Genting Highlands oleh Sanwa Tours.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, tiket percuma diberikan sempena pelancaran laluan baharu ke Genting Highlands dari Kuantan.
Tambahnya, langkah tersebut merupakan usaha untuk merancakkan industri pelancongan dan mempromosikan Awana Genting Highlands yang merupakan pusat percutian berasaskan taman tema yang menarik.
“Orang ramai boleh memuat naik aplikasi dan menebus tiket percuma menggunakan aplikasi redBus menggunakan promosi kod RBSANWAGH kepada 100 pengguna terawal sahaja.
“Pembukaan laluan bas ekspres dari Kuantan ke Genting Hinghlands ini merupakan pertama kali di daerah ini bagi memenuhi keperluan pelancong tempatan.
“Kemungkinan ada yang ingin ke Genting Highlands seorang diri tanpa memandu, jadi boleh menggunakan khidmat bas ekspres,” katanya pada sidang media di Terminal Sentral Kuantan, di sini, hari ini.
Menurut i Mohd Sharkar, sebanyak tiga trip sehari disediakan kepada pengguna bermula jam 7 pagi sehingga 6 petang dengan tambang sebanyak RM28 bermula hari ini.
Di samping itu pihak pengurusan bas ekspres sedang merangka pakej perjalanan pergi dan balik beserta penginapan bagi memudahkan pelancong merancang perjalanan, ujarnya.
“Pihak pengurusan akan menyediakan pakej jadi pelancong boleh pulang menaiki bas yang sama setelah bermalam di sana semalam atau dua malam.
“Bayangkan kalau anak muda seperti pelajar berusia 17 dan 18 tahun yang ingin ke taman tema, jadi mereka tidak perlu memandu ke sana,” katanya. – MalaysiaGazette