KUALA LUMPUR – Kesediaan Menteri Kewangan, Senator Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk turun padang di Selangor dilihat mampu menjadi nilai tambah kepada UMNO dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Mohd Dendera Billah Zamzuri berkata, ia bukan sahaja mengembalikan kepercayaan rakyat bahkan mengukuhkan jentera parti Melayu itu.
“Kita di Selangor ini mungkin ia satu nilai tambah yang boleh membantu dari segi gerak kerja kerana di Selangor kita ada seorang menteri sahaja iaitu Tan Sri Noh Omar.
“Sekiranya ada nilai tambah untuk mengukuhkan kekuatan di Selangor ini, mungkin ini boleh membantu atau melancarkan lagi gerak kerja di peringkat UMNO Selangor,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.
Sebelum ini, UMNO Bahagian Kuala Selangor mengeluarkan arahan kepada pemimpin parti di kawasan tersebut supaya tidak terlibat dengan program Menteri Kewangan itu.
Terdahulu, tular di aplikasi WhatsApp berhubung surat daripada Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor, Datuk Jahaya Ibrahim yang memberi arahan kepada kepimpinan bahagian untuk tidak terlibat dengan program melibatkan Zafrul.
Dalam pada itu, Dendera Billah tidak menghalang mana-mana pimpinan parti mahupun menteri Kabinet untuk datang membantu UMNO Selangor menyantuni rakyat yang memerlukan bantuan.
“Pada saya kita di peringkat Selangor, kita perlu akur dengan apa sahaja hala tuju dan arahan daripada pucuk pimpinan, soal berkaitan dengan calon dan sebagainya,” katanya.
Menyentuh soal kepimpinan anak muda, walaupun dilihat masih kurang namun sayap UMNO Selangor sedia menonjolkan lebih ramai muka baharu dan pelapis untuk diletakkan sebagai calon pilihan raya akan datang.
“Kita boleh nampak pada PRU-14, beberapa kawasan telah diletakkan calon-calon muda dan dua calon itu telah menang dua kerusi Dewan Negeri iaitu Datuk Rizam Ismail dan Datuk Mohd Imran Tamrin
“YB Rizam diangkat sebagai ketua pembangkang dan hari ini beliau mendapat tempat. Saya rasa mungkin kurang (kepimpinan) tapi kalau kita dapat untuk tambah kuota di Selangor untuk kepimpinan muda saya rasa lebih baik, soal kurang pemimpin itu saya rasa untuk PRU-15 kita boleh tonjolkan,” katanya.
Katanya lagi, pemimpin-pemimpin muda perlu lebih menonjolkan diri di sesuatu kawasan terlebih dahulu sebelum boleh diterima rakyat dan pengundi.
“Bukan anak muda sahaja (diterima), kita kena ambil seluruh pengundi, bukan pengundi muda sahaja, ada 18 tahun, 40 tahun, dan kalau boleh menepati ciri yang ditetapkan oleh Presiden UMNO iaitu Winnable, Acceptable dan Likeable.
“Perkara-perkara ini penting untuk anak muda ini meletakkan dirinya di suatu tempat yang boleh diterima di kawasan tersebut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette