SERING kali kedengaran isu-isu melibatkan pegawai-pegawai kepada Menteri. Antaranya adalah kesulitan Menteri untuk mengadakan pertemuan menyantuni rakyat. Terdapat juga pegawai lantikan politik termasuk setiausaha politik, setiausaha sulit dan pembantu khas kepada menteri yang bersikap sombong kepada rakyat serta ahli akar dan lebih ‘selesa’ berada di pejabat.
Segelintir pegawai lantikan politik kepada menteri juga dilihat gagal turun padang membawa agenda kementerian dan menteri diwakili. Ingin saya sarankan kepada menteri-menteri yang melantik pegawainya memastikan yang mereka “tidak berlagak lebih sudu dari kuah”.
Pegawai-pegawai menteri seharusnya bertindak sebagai kuli yang berkhidmat kepada menteri sepenuhnya dan bukan berlagak angkuh, sombong dan bongkak dengan kedudukan berada di pejabat menteri. Sikap sedemikian akan menyusahkan dan menjadi liabiliti kepada menteri tetapi sebaliknya jadilah kekuatan kepada Menteri tersebut untuk melaksanakan amanah kepada agama, bangsa dan negara.
Setiap kali menjelang pemilihan atau persidangan, kepimpinan sering kali berpesan agar akar umbi sentiasa melakukan pembaharuan dan tranformasi. Walau bagaimanapun, pembaharuan dan transformasi yang hendak dilakukan sebenarnya adalah terhadap pemilihan pegawai mereka.
Tugas pegawai lantikan politik bukan semata-mata duduk di pejabat dengan selesa sebaliknya membawa agenda kementerian dan menteri diwakili dengan sering turun padang ke kawasan akar umbi.
Sikap sombong dan angkuh akan menyebabkan inisiatif kejayaan dicapai menteri tidak sampai kepada rakyat sekali gus memperlihatkan kerajaan gagal menyampaikan maklumat positif kepada mereka.
Tidak saya nafikan terdapat juga menteri-menteri yang mempunyai prestasi yang cemerlang, sering turun padang menyantuni rakyat dan akar umbi parti akan tetapi jika perangai pegawai yang dilantik lebih sudu daripada kuah akan menampakkan kegagalan menteri itu sendiri dalam mengawal pegawainya.
Pegawai lantikan politik kepada menteri juga diingatkan jangan sombong dengan kuasa yang ada kerana pelantikan anda adalah hasil jerit perih pengorbanan akar umbi. Jangan nanti bila hendakkan undi baru terhegeh-hegeh menabur janji, berkata-kata manis.
Tidak kurang juga pegawai-pegawai lantikan menteri sibuk bermain golf, hisap rokok dalam pejabat, bergembira, berjoli sana-sini tanpa turun padang ke kawasan menteri menyantuni pengundi.
Bukankah wajar ini dinamakan sebagai makan gaji buta?
Ingin saya ingatkan kepada pegawai-pegawai lantikan menteri, anda tidak akan berada di kedudukan tersebut jika tidak disebabkan usaha akar umbi yang menyokong ketua anda.
Jangan sombong dan angkuh dengan kuasa sekangkang kera.
Mahathir Mohd Rais
Ketua Bahagian PPBM Segambut