KUALA LUMPUR – CGS-CIMB Research menjangka pendapatan korporat suku ke suku yang lebih baik pada suku kedua 2022, didorong oleh harga komoditi yang kukuh berikutan konflik Ukraine-Rusia dan permintaan meningkat/perayaan daripada pengguna.
Dalam nota penyelidikan hari ini, firma broker itu berkata bagaimanapun, ini sebahagiannya akan diimbangi oleh kos bahan mentah, buruh dan kewangan yang tinggi.
Ia turut menjangka pendapatan FBM KLCI akan meningkat 1.0 peratus dan 11 peratus pada tahun kewangan 2022 dan 2023, selain menaikkan sasaran akhir tahun untuk indeks petunjuk pasaran kepada 1,647 mata pada 2022.
CGS-CIMB Research neutral untuk musim keputusan korporat baru-baru ini pada suku pertama 2022.
Katanya, nisbah semakan pendapatan merosot kepada 0.92x pada suku pertama tetapi masih melebihi purata sejarah.
Katanya, kejutan pendapatan yang positif adalah daripada sektor perniagaan tani dan kimia pada musim keputusan suku pertama manakala sektor tenaga dan perkapalan mencatatkan pendapatan yang lebih lemah daripada jangkaan.
“Keuntungan bersih teras pada suku pertama merosot 21 peratus suku ke suku dan 32 peratus tahun ke tahun berikutan pendapatan yang rendah daripada pengeluar sarung tangan dan Sapura Energy.
“Jika kami mengecualikan pengeluar sarung tangan dan Sapura Energy, pendapatan suku pertama meningkat 4.3 peratus tahun ke tahun tetapi merosot 12.1 peratus suku ke suku,” menurut CGS-CIMB Research. – MalaysiaGazette