Home Nasional 49% perokok pilih vape untuk kurangkan, berhenti merokok – Tinjauan

49% perokok pilih vape untuk kurangkan, berhenti merokok – Tinjauan

Kementerian Kesihatan akan mengadakan perbincangan dengan pengusaha premis makanan dalam masa terdekat sebelum membuat keputusan berhubung cadangan penyediaan ruang khas merokok susulan larangan merokok di semua premis makanan mulai 1 Jan depan. 
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Hampir separuh perokok Malaysia memilih vape untuk mengurangkan merokok atau berhenti sepenuhnya (49%), menurut tinjauan oleh Kantar, sebuah agensi penyelidikan antarabangsa.

Kajian ini melibatkan 500 orang responden di negara ini.

Dr. Delon Human, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Diplomat Kesihatan (Health Diplomat) berkata, hasil dapatan itu adalah konsisten dengan banyak bukti saintifik mengenai vape menjadi pilihan perokok dan berkesan untuk membantu mereka membuang tabiat tersebut.

Bukti yang ada setakat ini menunjukkan majoriti perokok mahu berhenti tabiat itu.

Menurutnya, tinjauan itu mendapati 52% perokok Malaysia menganggap vape kurang memudaratkan daripada menghisap rokok.

Atas dasar ini, 86% mengatakan vape harus dibenarkan kepada perokok sebagai produk yang kurang memudaratkan dan 90% percaya bahawa vape perlu dipromosikan secara aktif sebagai alternatif yang kurang memudaratkan daripada rokok.

”Kajian mengenai penggunaan e-rokok setakat ini menunjukkan fakta bahawa vape tidak bebas risiko tetapi jauh lebih rendah bahayanya berbanding menghisap rokok.

”Menariknya, kadar perokok Malaysia yang memahami hakikat ini adalah tinggi berbanding negara lain,” ujarnya sambil menambah hanya 29% perokok di United Kingdom percaya vape kurang memudaratkan berbanding merokok, walaupun negara itu mengamalkan pendekatan pengurangan kemudaratan dalam menggalakkan perokok untuk beralih kepada vape.

Tinjauan itu juga mengumpul pendapat rakyat Malaysia tentang peraturan dan mendapati 60% mempunyai kebimbangan mengenai produk vape yang tidak dikawal.

Majoriti daripada mereka menyokong peraturan untuk e-rokok dan percaya ia harus dikawal selia sebagai produk pengguna dan bukannya produk perubatan yang hanya boleh diperolehi melalui pengamal perubatan.

Pada masa yang sama, 81% sangat percaya peraturan mesti dilaksanakan untuk memastikan produk tidak rosak dan memenuhi standard produk dan kualiti serta tidak dijual kepada kanak-kanak bawah umur atau bawah umur.

Menurutnya lagi, kKajian ini menunjukkan vape mempunyai potensi besar untuk membantu Kerajaan Malaysia mengurangkan kelaziman merokok kerana ia adalah alat yang popular digunakan oleh perokok untuk mengurangkan dan berhenti merokok.

Memandangkan Malaysia kini sudah hampir untuk memperkenalkan undang-undang untuk mengawal selia produk vape, adalah penting untuk mencapai keseimbangan bagi memastikan langkah-langkah diambil tidak menghalang perokok beralih daripada merokok kepada alternatif yang kurang memudaratkan dan memastikan produk tidak digunakan oleh mereka yang di bawah umur dan bukan perokok.

Peraturan berkadar risiko adalah cara yang sesuai untuk mencapai keseimbangan ini dengan mengenakan kawalan yang betul dan juga mengambil kira potensi yang ada untuk membantu mengurangkan kelaziman merokok di Malaysia,” tambah Dr.
Human. – MalaysiaGazette