Home Nasional PH fail tindakan mahkamah, tuntut 40 peratus hak Sabah

PH fail tindakan mahkamah, tuntut 40 peratus hak Sabah

Ahli Parlimen dan ADUN Sabah dari Pakatan Harapan (PH) memohon 40 peratus hak Sabah di Mahkamah Sabah dan Sarawak, Kota Kinabalu, Sabah, hari ini.

KUALA LUMPUR – Wakil rakyat dari Pakatan Harapan (PH) Sabah hari ini memfailkan tindakan undang-undang di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak untuk memohon 40 peratus hak Sabah hasil bersih yang diperoleh Kerajaan Persekutuan dari negeri itu setiap tahun.

Enam Ahli Parlimen dan tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah masing-masing telah memulakan tindakan sebagai plaintif dan telah menamakan kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama dan kerajaan Negeri Sabah sebagai defendan Kedua.

PH Sabah dalam kenyataan bersama hari ini berkata, tindakan itu diambil susulan pengumuman Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah pada 14 April 2022 telah mencapai persetujuan untuk semakan semula dibuat berdasarkan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

“Tetapi semalam tersebut tidak berdasarkan kepada asas dan pengiktirafan hak 40 peratus Sabah. Persetujuan ini telah mengecewakan setiap rakyat Sabah.

“Tambahan lagi, pendedahan pendirian Kerajaan Persekutuan baru-baru ini oleh Menteri Kewangan di Parlimen bahawa hak 40 peratus Sabah tidak lagi terpakai adalah jelas melanggar Perjanjian Malaysia 1963,” kata kenyataan bersama hari ini.

Antara wakil PH Sabah itu ialah Datuk Christina Liew (PKR), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO), Datuk Frankie Poon Ming Fung (DAP), Lahirul Latigu (Amanah).

Menurut kenyataan itu, PH Sabah tidak boleh lagi membiarkan pelanggaran hak perlembagaan rakyat Sabah berterusan.

“Sewaktu Sabah bersetuju dengan pembentukan Malaysia, banyak terma khas yang diperuntukkan kepada Sabah tidak terdapat pada 11 negeri yang lain di Semenanjung dalam Persekutuan Tanah Melayu.

“Kedudukan istimewa ini berpunca daripada pelbagai sebab dan salah satunya adalah kerana keadaan Sabah yang masih jauh terbelakang dari segi pembangunannya pada ketika itu,” katanya.

Kata kenyataan itu lagi, selepas hampir 59 tahun Malaysia ditubuhkan, masih terdapat 10 daerah termiskin di negara ini di mana lapan darinya adalah di Sabah seperti mana dilaporkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025).

“Dilaporkan lagi bahawa pada 2019, kadar kemiskinan mutlak di Sabah adalah 19.5 peratus dan 9 peratus di Sarawak iaitu melebihi paras kebangsaan 5.6 peratus.

“Sekiranya 40 peratus hak Sabah dihormati dan diberikan, setiap rakyat Sabah hari ini akan merasai kualiti hidup lebih baik dari segi ekonomi dan sosial.

“Sudah tiba masanya kehilangan dan pelanggaran hak Perlembagaan kita yang berterusan ini dibawa ke mahkamah untuk diadili dan diselesaikan,” kata kenyataan itu lagi. – MalaysiaGazette