Home Politik Masih samar UMNO bergerak solo atau bersama MN di Selangor – Noorazli

Masih samar UMNO bergerak solo atau bersama MN di Selangor – Noorazli

Ketua UMNO Bahagian Sepang, Noorazli Said bercakap pada Malaysia Gazette mengenai pendirian bertanding di Parlimen Sepang pada PRU-15 di Shaftsburry Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 03 JUN 2022.

PUTRAJAYA – UMNO Bahagian Sepang melihat keperluan mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan segera pada tahun ini bakal menyebabkan Barisan Nasional (BN) berdepan kesan pro dan kontra.

Ketuanya, Noorazli Said berkata, pihaknya mengakui ketika ini adalah waktu yang sesuai untuk mempercepatkan pilihan raya memandangkan momentum kemenangan di Pilihan Raya Negeri sebelum ini masih tinggi.

Namun jelas beliau, apa yang berlaku di Selangor masih samar sama ada UMNO akan bergerak secara solo atau bersama Muafakat Nasional.

“Kita berpendirian begini ada pro dan kontra dan hari ini kalau kita mempercepatkan pilihan raya, kita merasa ia waktu yang sesuai memandangkan momentum kemenangan kita masih ada dan kita melihat juga kekuatan pihak lawan agak keliru sama ada hendak terus bergabung bentuk khemah besar atau pun mereka berpecah.

“Perbincangan ini masih lagi berjalan dan bagi saya ini peluang terbaik di waktu pembangkang kelam-kabut, UMNO ambil kesempatan ini adakan pilihan raya.

“Walaupun begitu dalam keghairahan kita mengadakan pilihan raya ini, saya melihat persiapan jentera perlu diperhebat terutama di Selangor.

“Hari ini kita masih lagi berbincang di peringkat perhubungan negeri sama ada ada hendak teruskan dengan Muafakat Nasional (MN) atau kita hendak berjalan secara solo,” katanya ketika ditemubual MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Noorazli menambah, UMNO Pusat kini lebih cenderung untuk bergerak ke arah solo namun senario politik di Selangor adalah berbeza.

Akui beliau, BN memerlukan gabungan lain untuk menambah kekuatan sedia ada sekiranya ingin merampaskan negeri itu semula daripada Pakatan Harapan.

Katanya, BN perlu mengelak untuk bertembung dengan Pas atau mewujudkan BN Plus sebagai formula terbaik.

“Tetapi jujur saya katakan kalau di Selangor sendiri, kalau kita hendak menang dan merampas kembali negeri ini daripada Pakatan Harapan, maksudnya saya kalau kita bergerak solo tidak boleh menang, tetapi kalau kita ada gabungan-gabungan lain di Selangor ini boleh menambah kekuatan kepada kita.

“Waktu di Melaka pun kita tidak yakin bergerak solo kita boleh menang, tetapi akhirnya pengundi membuat keputusan bahawa BN adalah parti yang dipercayai dan begitu juga di Johor.

“Ini tidak mustahil bagi Selangor. Jadi kalau kita bergerak solo juga boleh, bagi saya kalau kita punya satu hubungan dengan rakan-rakan lain sama ada kita elak untuk bertembung atau pun kita adakan BN Plus dan mungkin ia formula yang baik. Cuma bagi saya rundingan ke arah itu perlu dimulakan dari sekarang. Bukan nanti di waktu pilihan raya kita hendak buat rundingan tersebut.

“Apatah lagi Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh telah memberikan beberapa isyarat ke mana hendak dibawa UMNO dan BN pada PRU nanti. Dalam keghairahan kita hendak buat pilihan raya, bukan sahaja persiapan gerak kerja itu penting, dana politik juga perlu dipersiapkan,” katanya. – MalaysiaGazette