Home Nasional Awas scam melalui e-mel guna identiti pemimpin negara – MCMC

Awas scam melalui e-mel guna identiti pemimpin negara – MCMC

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ingin mengingatkan orang ramai agar berhati-hati jika menerima emel yang menggunakan profil pemimpin negara, ketua organisasi atau syarikat yang memberikan arahan di luar daripada kebiasaan. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ingin mengingatkan orang ramai agar berhati-hati jika menerima emel yang menggunakan profil pemimpin negara, ketua organisasi atau syarikat yang memberikan arahan di luar daripada kebiasaan.

Sebarang komunikasi yang diterima luar daripada kebiasaan perlulah disemak dan ditentukan kesahihannya dan tidak dikongsikan dengan mana-mana pihak.

“Ini bertujuan untuk mengelak dari menjadi mangsa kepada aktiviti yang berniat jahat dan berunsur penipuan,” kata MCMC dalam satu kenyataan hari ini.

Penyebaran kandungan palsuboleh dikenakan tindakan perundangan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

“Peringatan ini dikeluarkan hasil daripada aduan yang diterima dari orang ramai di mana terdapat e-mel yang tidak ditentusahkan telah ditangkap layar dan disebarkan melalui aplikasi pemesejan dalam talian,” kata kenyataan yang sama.

Orang ramai diingatkan untuk membuat semakan dengan pihak yang terlibat (pihak yang profil atau identitinya digunakan) dan jangan sebarkan sebarang kandungan yang mencurigakan bagi mengelak kekeliruan umum.

Laporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya telah dipastikan kandungan e-mel tersebut tidak benar atau palsu bagi memudahkan tindakan sewajarnya diambil.

Sekiranya ada menerima e-mel yang mencurigakan, sertakan email header bagi e-mel tersebut semasa mengemukakan laporan kepada pihak polis.

Orang ramai juga boleh membantu memberhentikan penyebaran e-mel tersebut dengan melaporkan penyalahgunaan e-mel kepada penyedia perkhidmatan e-mel seperti Gmail atau Yahoo! Mail. – MalaysiaGazette