Home Nasional Permohonan nusyuz Khir Toyo didengar 28 Julai ini – Peguam

Permohonan nusyuz Khir Toyo didengar 28 Julai ini – Peguam

Dr Mohamad Khir Toyo
Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo

KUALA LUMPUR – Mahkamah Syariah Shah Alam akan mendengar permohonan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Khir Toyo yang memfailkan kes nusyuz terhadap isterinya, Zaharah Kechik pada 28 Julai ini.

Permohonan kes nusyuz itu dikemukakan Dr Khir melalui Tetuan Maulan & Co. di Mahkamah Syariah, Shah Alam pada 7 April 2022.

Sebutan pertama kes itu yang sepatutnya dibuat pada 1 Jun lalu bagaimanapun ditunda kepada 28 Julai ini susulan Dr Khir gagal hadir ke mahkamah dan hanya diwakili peguamnya sahaja.

Rozahahah Juisin

Perkara itu disahkan sendiri peguam Zaharah, Rozahahah Juisin dari Tetuan Zana & Associates.

“Hakim Masnizar@Mohd Nizar Mokhtar menetapkan 16 Jun ini untuk pihak kami memfailkan penyataan pembelaan manakala pihak Dr Khir memfailkan jawapan kepada pembelaan pada 30 Jun 2022 secara pentadbiran sahaja.

“Sebutan semula di hadapan hakim pada 28 Julai 2022. Pihak-pihak juga dalam proses penyelesaian secara baik,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sementara itu, peguam Dr Khir, Siti Maspuah Maulan yang dihubungi MalaysiaGazette hari ini bagaimanapun enggan mengesahkan perkara tersebut.

Peguam Siti Maspuah Maulan
Siti Maspuah Maulan

Bagaimanapun Siti Maspuah hanya memaklumkan bahawa Dr Khir dan Zaharah masih pasangan suami isteri yang sah.

“Dia orang belum bercerai lagi,” katanya lagi – MalaysiaGazette