KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan 23 pemain yang dipilih oleh ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon untuk membawa cabaran skuad Harimau Malaya bagi menghadapi kempen Kelayakan Piala Asia 2023.
Apa mengejutkan, pemain naturalisasi, Liridon Krasniqi digugurkan bersama penjaga gol Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, Afiq Fazail, Kogileswaran Raj, Shahrul Nizam Ros Hasni, Norshahrul Idlan Talaha serta Syahmi Safari.
Syahmi terdahulu telah dilepaskan daripada kem latihan pusat pada 31 Mei lalu kerana masalah kesihatan.
Namun Pan Gon memilih dalam senarai akhir 23 pemain itu ialah seorang lagi penyerang naturalisasi, Guilherme De Paula.
Pemain kelahiran Brazil itu menjaringkan satu gol ketika aksi persahabatan menentang Brunei.
De Paula dikatakan telah berjaya memikat Kim Pan-gon dalam aksi persahabatan tertutup menentang Negeri Sembilan semalam.
Seramai 30 pemain telah menyertai kem latihan pusat sejak 20 Mei lalu.
Pemain yang tidak terpilih ini tetap akan berada dalam senarai bersedia sekiranya terdapat penggantian pemain yang perlu dilakukan.
Harimau Malaya dijadualkan bertemu Turkmenistan pada 8 Jun 2022 ini, Bahrain (11 Jun ) dan Bangladesh pada 14 Jun ini di kesemua perlawanan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Hanya juara kumpulan dan naib juara terbaik akan layak secara automatik ke Piala Asia 2023. – MalaysiaGazette