Home Ekonomi Malaysia harap Qatar timbang semula projek Hotel Harrods di KL

Malaysia harap Qatar timbang semula projek Hotel Harrods di KL

Reaksi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Emir Negara Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al-Thani ketika menyaksikan perjanjian persefahaman diantara Malaysia yang diwakili Menteri Luar, Datuk Seri Hanifah Aman dan Qatar yang diwakili Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al-Thani di Sri Perdana, Putrajaya. foto SAFWAN MANSOR, 16 OKTOBER 2017

KUALA LUMPUR – Malaysia berharap Kerajaan Qatar akan mempertimbangkan semula rancangan untuk membina Hotel Harrods di ibu negara selepas membatalkan projek berkenaan pada 2015.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pembinaan hotel berkenaan mampu meningkatkan imej negara sebagai antara destinasi pelancongan utama.

“Harrods adalah satu jenama yang hebat dan jika mereka membuat keputusan untuk menghidupkan semula projek itu, ia adalah langkah yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Perdagangan dan Ekonomi Qatar Sheikh Ahmed bin Jassim bin Mohammed Al Thani.

Projek Hotel Harrods yang dicadang dibina antara Jalan Raja Chulan dan Jalan Conlay di pusat bandar Kuala Lumpur diumumkan pada tahun 2012 sebagai sebuah projek usaha sama antara sayap pelaburan Qatar, Qatar Holding LLC, yang memiliki 100 peratus kepentingan dalam Harrods dengan syarikat tempatan iaitu Tradewinds Corporation Bhd dan usahawan Tan Sri Desmond Lim Liew Choon.- BERNAMA