KUALA LUMPUR – Filem Tombiruo : Penunggu Rimba yang diadaptasi dari karya novelis
thriller nombor satu di Malaysia, Ramlee Awang Murshid telah pun menemui penonton bermula 12 Oktober lalu.
Meskipun filem ini baru ditayangkan di pawagam, namun ia telah berjaya meraih
kutipan lebih RM2 juta.
Apa yang menakjubkan, negeri Sabah turut menyumbangkan kutipan tertinggi untuk filem itu.
Filem bergenre aksi drama ini ditayangkan di 115 pawagam seluruh Malaysia termasuk Brunei dan Singapura.
Rata-rata penonton yang telah menyaksikan filem ini memberikan respon positif menerusi perkongsian di laman sosial, kata satu kenyataan semalam.
Malah filem ini berada di tangga ke dua untuk carta filem GSC (Golden Screen
Cinema) dan sekaligus mengetepikan filem-filem luar negara seperti The Foreigner, Blade Runner 2049 dan Kingsman: The Golden Circle.
Selain itu, video Tayangan Perdana filem Tombiruo : Penunggu Rimba juga mendapat perhatian orang di luar sana apabila video berdurasi 25 minit ini berada di nombor 6 dalam kategori video tular di Youtube.
Mewakili pihak penerbit filem, Eksekutif Produser Layar Sunan dan Penulis novel Tombiruo: Penunggu Rimba, Ramlee Awang Murshid berkata; “Alhamdulillah, dalam keadaan kutipan industri filem tempatan yang agak kurang menentu sekarang ini, karya Tombiruo : Penunggu Rimba dilihat diterima oleh kebanyakan penonton.
“Kami amat menghargai sokongan penonton serta komen-komen yang dikongsi. Saya mewakili pihak penerbit berharap penonton yang telah menonton filem ini akan
mengajak rakan-rakan serta keluarga untuk menyaksikan filem ini di pawagam.
Tombiruo : Penunggu Rimba” memaparkan kisah Ejim digelar sebagai Tombiruo kerana dianggap sebagai penunggu rimba.
Lelaki yang sentiasa bertopeng ini disisihkan oleh penduduk kerana memiliki wajah bukan manusia. Apabila satu insiden yang tragis berlaku pada Tombiruo, ia telah menimbulkan
kemarahannya dan dendam.
Sementara itu, Amiruddin menganggap Tombiruo sebagai punca keperitan
hidup keluarganya dan mula menjejaknya.
Pergelutan diantara mereka berlaku demi menegakkan kebenaran masing-masing. – MalaysiaGazette