Presiden Persatuan Pemborong-Pemborong Beras Semenanjung Malaysia, Chen Rui Fa berkata, sekiranya cadangan kerajaan Thailand itu menjadi realiti, maka harga borong di Malaysia juga akan dinaikkan.
Beliau berkata, kos racun serangga dan pengangkutan yang tinggi telah mendorong kemungkinan kenaikan harga beras dari Vietnam dan Thailand manakala kadar pertukaran ringgit yang menurun juga menyebabkan keadaan itu mungkin berlaku.
“Kenaikan harga beras dua negara ini pasti akan memberi impak.
“Namun begitu, impaknya tidak akan terlalu besar kerana Padiberas Nasional Berhad (Bernas) mempunyai stok yang mencukupi,” katanya kepada China Press.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha bahawa petani di Thailand dan Vietnam sedang bergelut dengan kenaikan kos penanaman padi, tetapi harga makanan kekal di paras rendah.
Perdana Menteri Thailand itu berpendapat menaikkan harga beras oleh kedua-dua negara akan menguntungkan petani.
Mengulas lanjut, Rui Fa berkata, selain Thailand dan Vietnam, Malaysia turut mengimport beras dari India dan Pakistan.
“Jika beras Siam naik harga, Bernas akan mengimport beras dari negara lain dan Bernas pernah mengimport banyak beras dari Pakistan sebelum ini,” katanya. – MalaysiaGazette