Home Nasional Malaysia ketuai kajian hasilkan ubat denggi – KJ

Malaysia ketuai kajian hasilkan ubat denggi – KJ

Khairy Jamaluddin

MELAKA – Malaysia akan mengetuai kajian bersama beberapa negara lain termasuk Brazil dan India bagi mengenal pasti ubat-ubatan sedia ada yang boleh digunakan khusus untuk merawat denggi.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata pihaknya baru sahaja selesai mengadakan memorandum persefahaman (MoU) di bawah Penyelidikan Klinikal Malaysia (CRM) sebelum kajian itu dijalankan dalam tempoh enam bulan sehingga setahun.

“Sekarang ini, kita bersama Drug For Neglected Diseases Initiative (DNDI) sedang bekerjasama bersama beberapa negara lain seperti Brazil dan India untuk kita lihat kepada beberapa ubat-ubatan yang sebelum ini digunakan untuk merawat penyakit lain sama ada boleh digunakan untuk rawat denggi.

“Malaysia akan mengetuai (kajian) bersama Brazil, India dan beberapa negara membangun lain dan kita bagi tempoh antara enam hingga setahun untuk kita jalankan ujian ini,” katanya.

Khairy (tengah) meninjau reruai pameran sempena Majlis Pelancaran Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Negeri Melaka dan Sambutan Hari Denggi Asean dan Gotong Royong Mega 1.0 Perangi Aedes Peringkat Kebangsaan di Banda Hilir, Melaka hari ini sambil

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Agenda Nasional Malaysia Sihat (AMNS) dan Sambutan Hari Denggi Asean Dan Gotong-Royong Mega 1.0 ‘Perangi Aedes’ Peringkat Kebangsaan yang dirasmikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir di sini hari ini.

Hadir sama Exco Kesihatan Dr Muhamad Akmal Saleh dan juga Pengarah Kesihatan Negeri Melaka Dr Rusdi Abd Rahman.

Mengulas lanjut Khairy berkata, ujian itu sekiranya berjaya akan didaftar sebelum digunakan di hospital dan klinik di seluruh negara ini.

“Kalau ubat-ubat ini dapat menunjukkan keberhasilan yang mana ia selamat dan juga berkesan maka ini adalah langkah yang sangat-sangat penting untuk kita melawan denggi.

“Jadi bila dia (pesakit) sakit sahaja, kita akan bagi ubat ini yang pesakit akan sembuh tanpa melalui komplikasi denggi dan akan kita akan digunakan di klinik dan hospital,” katanya.

Ketika ini, jumlah kes demam denggi global yang dilaporkan kepada Badan Pertubuhan Sedunia (WHO) telah meningkat lapan kali ganda sejak dua dekad yang lalu.

Peningkatan itu menyaksikan daripada 505,430 kes pada 2000 kepada lebih 2.4 juta kes pada tahun 2010 dan 5.2 juta kes pada tahun 2019. – MalaysiaGazette.