Home Utama Cemburu mungkin motif wanita hamil ditembak

Cemburu mungkin motif wanita hamil ditembak

Emirah Mazlan, 26, ibu kepada tiga orang anak berusia antara tiga hingga 10 tahun ditemukan mati dengan kesan tembakan di bahagian perut dan akibat tembakan tersebut, bayi di dalam kandungan mangsa yang berusia tujuh bulan turut meninggal dunia.

MACHANG – Polis mengesyaki cemburu antara motif seorang wanita hamil ditemukan mati dengan kesan tembakan pada perut di dalam sebuah kereta di tepi jalan Kampung Repek, Pasir Mas, dekat sini petang semalam.

Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata bagaimanapun polis akan melakukan siasatan menyeluruh dalam kes tersebut bagi menentukan motif sebenar.

Muhamad Zaki berkata mangsa kemungkinan ditembak menggunakan pistol separa automatik .38 berikutan penemuan kelongsong peluru.

“Polis akan melakukan siasatan secara menyeluruh walaupun ada pelbagai motif yang diperkatakan.

“Selain itu polis juga akan mendapatkan keterangan daripada saksi-saksi agar apa yang kita jangkakan itu adalah tepat. Pada masa sama polis juga meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi sehingga selesai siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Machang di IPD Machang di sini, hari ini yang menyaksikan Ketua Polis Daerah Machang Supt Mohd Rosli Mat menyerahkan jawatan kepada pemangkunya DSP Mohd Zahir Abdullah.

Semalam, Emirah Mazlan, 26, ibu kepada tiga orang anak berusia antara tiga hingga 10 tahun ditemukan mati dengan kesan tembakan di bahagian perut dan akibat tembakan tersebut, bayi di dalam kandungan mangsa yang berusia tujuh bulan turut meninggal dunia.

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata polis juga sedang menyiasat kemungkinan mangsa ditembak di lokasi lain sebelum memandu kereta ke lokasi mayatnya ditemukan kerana jarak rumahnya adalah sejauh 15 kilometer.

Beliau berkata susulan kejadian itu seorang lelaki berusia 40 tahun yang mempunyai hubungan dengan mangsa ditahan reman sehingga 9 Jun bagi membantu siasatan.

– BERNAMA