COX’S BAZAR – Malaysia tidak pernah berhasrat untuk campur tangan dalam hal ehwal dalaman Myanmar ketika membangkitkan isu etnik Rohingya di negara itu tetapi ia adalah isu kemanusiaan serantau dan sejagat yang perlu diberi perhatian.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, hasil lawatan beliau ke kem pelarian Rohingya dekat sini menunjukkan bahawa isu itu kini menjadi masalah yang berpanjangan.
“Oleh kerana ia suatu usaha penyelesaian yang tidak hanya boleh dilakukan oleh Bangladesh, jadi mereka perlukan bantuan negara sahabat yang lain termasuk Malaysia. Malaysia merasakan masalah kemanusiaan ini perlukan penyelesaian melalui kaedah kolaborasi serantau khususnya negara ASEAN.
“Walaupun Myanmar antara negara anggota ASEAN tetapi isu kemanusiaan seharusnya perlu merentasi sempadan. Kerana itu Malaysia melalui Perdana Menteri bertegas untuk Myanmar selesaikan masalah ini dan dibantu badan antarabangsa. ‘Ethnic cleansing’ tidak sepatutnya berlaku di wilayah Rakhine, Myanmar,” katanya di sini.
Ahmad Zahid berkata demikian kepada wartawan Malaysia pada akhir lawatan kerjanya selama dua hari ke Bangladesh sejak Ahad. Antara program utama beliau di sini adalah melawat kem pelarian Rohingya di Kutupalong, kira-kira 35km dari sini pada Isnin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, Malaysia telah dan sedang melakukan usaha untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang terlibat dengan isu itu terutama berikutan siasatan dalaman oleh angkatan tentera Myanmar terhadap beberapa pemimpin tentera yang mengetuai unit tertentu kononnya wujud kumpulan yang menentang pentadbiran kerajaan pusat.
Katanya, Malaysia akan bekerjasama dengan negara ASEAN yang prihatin terhadap masalah ini bersama Pertubuhan Antarabangsa bagi Migran (IOM) dan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) serta beberapa badan antarabangsa lain.
“Pertama untuk meneruskan kesinambungan bantuan kebajikan, perubatan dan persekolahan anak-anak mereka. Usaha jangka masa sederhana adalah supaya akhirnya mereka kembali ke tanah asal mereka.
Bagi jangka panjang, akhirnya mencadangkan zon selamat yang diiktiraf PBB (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu), perkara ini mungkin boleh dibawa oleh anggota Majlis Keselamatan PBB untuk dijadikan resolusi agar Rohingnya dapat kembali dan dipantau oleh pasukan pemantau PBB,” katanya.
Krisis kemanusiaan semakin memuncak di wilayah Rakhine, Myanmar dengan semakin ramai etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh setiap hari dan semakin banyak kem pelarian diwujudkan.
Sehingga kini, jumlah sebenar pelarian tidak dapat dipastikan tetapi banyak pihak mendakwa ia melebihi sejuta orang. Untuk rekod, hanya terdapat dua kem rasmi bagi pelarian Rohingya iaitu Kutupalong dan Nayapara tetapi berpuluh-puluh lagi kem sementara diwujudkan oleh pelarian sendiri dan angka itu bertambah dari hari ke hari. – MalaysiaGazette