Home Utama Malaysia akan sambung cari pesawat MH370 – laporan

Malaysia akan sambung cari pesawat MH370 – laporan

SYDNEY – Malaysia dijangka mengumumkan penyambungan semula pencarian pesawat MH370 milik Malaysia Airlines seawal minggu ini.

Laporan The West Australian menyatakan tawaran daripada syarikat Amerika Syarikat, Ocean Infinity dipercayai menjadi pilihan kerajaan Malaysia setelah pencarian selama dua tahun menemui kegagalan.

Pencarian pesawat tersebut yang hilang pada 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 239 penumpang itu digantung pada Januari lalu.

Kenderaan dasar laut, dikenali Hugin, milik Ocean Infinity mampu beroperasi pada kedalaman 6,000 meter.

Pada bulan lalu, syarikat tersebut bersedia mengambil risiko kewangan dengan menyambung semula pencarian pesawat MH370.

“Terma tawaran adalah sulit tetapi saya boleh mengesahkan Ocean Infinity telah bersedia untuk mengambil risiko ekonomi dengan menyambung semula pencarian.

“Kami sedang berbincang dengan pihak berkuasa dan berharap tawaran itu akan diterima,”  kata jurucakap syarikat itu, Mark Antelme seperti dipetik The Australian.

Sebuah kumpulan yang memberi sokongan kepada waris mangsa, Voice370 berkata, di bawah terma tawaran yang dilakukan pada April lalu, Ocean Infinity mungkin diberi hadiah jika dan hanya jika ia menemui medan serpihan utama. – Agensi

1 Komen

  1. Dah terlampau lama !…..Kalau hilang bertempat bolehlah dicari , ini hilangnya tak bertanda. Nak cari juga ke seluruh dunia ? Buang wang rakyat saja…..

Comments are closed.