JOHOR BAHRU – Seorang anggota polis berpangkat konstabel dan seorang wanita ditahan di tempat letak kereta di sebuah kondominium Taman Setia Tropika dan pelbagai jenis dadah bernilai RM13,557.80 dirampas.
Anggota polis berusia 28 tahun dan bertugas di salah sebuah balai di negeri ini dan wanita berusia 21 tahun ditahan sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Johor pada 11.45 malam Ahad lalu (15 Oktober).
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, turut dirampas dalam serbuan itu adalah sebuah kereta jenis Perodua Viva dan wang tunai RM21,000.
“Susulan maklumat diterima, kita menahan dua suspek itu dan hasil pemeriksaan ke atas mereka kita merampas dadah jenis Ketamin seberat 216 gram, Ekstasi (72 biji), Eramin 5 (7 biji) dan Syabu (16 gram),” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, siasatan mendapati lelaki yang ditahan itu merupakan seorang anggota polis berpangkat Konstabel dan bertugas di salah sebuah balai polis di Kontinjen Johor.
Beliau berkata, kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Khalil menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi sama sekali kepada mana-mana individu termasuk polis yang terlibat dalam sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang.
Pada masa sama, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang bekerjasama menyalurkan maklumat ke atas sebarang kesalahan jenayah. – MalaysiaGazette